Siakap Keli
Kredit: Twitter

Lelaki Temui Ajal Didakwa Akibat Pergelutan, Salah Faham Selepas Kemalangan

Kuala Lumpur, 11 Ogos: Seorang lelaki maut didakwa selepas berlaku pergelutan ekoran perselisihan faham setelah berlaku kemalangan di Kilometer 239 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, berhampiran susur Bandar Baru Bangi petang semalam.

Melalui video yang tular di media sosial, mangsa yang kelihatan tidak bermaya kelihatan berada di bahagian pembahagi jalan bersama-sama dengan seorang lagi lelaki. Turut kelihatan dalam video yang sama adalah kenderaan yang remuk dibahagian hadapan.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata polis telah menahan sepasang suami isteri, masing-masing berumur dalam lingkungan awal 40-an dan lewat 30-an bagi membantu siasatan.

“Kemalangan berlaku lebih kurang pukul 1.40 tengah hari, dan berlaku perselisihan faham yang membawa kepada pergelutan antara dia dengan suspek lelaki berumur awal 40-an.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah di rusuk dan bahagian kepala dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.

“Lelaki yang berusia 29 tahun itu dikejarkan ke salah sebuah hospital di Nilai dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi pegawai penyiasat kes itu dengan menelefon 016-406 4202, atau hubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sumber: BERNAMA, Twitter

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.