Siakap Keli

Polis Akan Panggil Individu Dakwa Lihat Kemalangan Di Lebuh Raya

Polis akan memanggil pihak yang mendakwa melihat kejadian seorang lelaki yang dilaporkan maut dalam pergaduhan pada Sabtu di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran persimpangan Bandar Baru Bangi, susulan satu kemalangan, untuk membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata pihaknya sedang mengesan individu terlibat untuk dipanggil memberi keterangan berdasarkan dakwaan yang dibuat mereka melalui hantaran dan komen-komen di media sosial.

“Pihak polis sentiasa memantau media sosial, kita pantau apa yang ditulis, dikomen dalam media sosial berhubung kes ini. Sebab itu, kita minta netizen supaya tidak keluarkan apa-apa kenyataan yang salah dan bertentangan kerana ia boleh memudaratkan mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Sementara itu, ditanya sama ada kes itu dirujuk sebagai kes buli jalan raya, beliau enggan mengulas perkara itu.

“Saya enggan mengulas kes berkenaan kerana masih dalam siasatan lagi dan polis siasat kes ini di bawah Seksyen 302 kerana membunuh serta mengikut undang-undang,” katanya.

Selain itu, Fadzil berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk menahan pihak yang menyebarkan maklumat palsu dan membangkitkan isu perkauman menerusi media sosial berhubung kes itu.

“Polis masih dalam proses mengenal pasti latar belakang individu terlibat dan berharap orang ramai jangan memburukkan keadaan sebaliknya tampil ke balai polis jika mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini,” katanya.

Dalam insiden itu, Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 29, dilaporkan maut selepas dilanggar sebuah kenderaan yang dipandu lelaki lain ekoran pergaduhan antara mereka yang didahului dengan satu kemalangan kecil melibatkan kenderaan mereka.

Polis menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan kes yang dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Kedua-dua mereka direman tujuh hari sehingga 17 Ogos ini.

Sumber: BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)