Usahawan fesyen, Christy Ng meluahkan rasa kesal terhadap pemilik akaun media sosial, J Vikneshvra Rau yang didakwa gagal menghadirkan diri ke prosiding mahkamah selepas memberikan alasan tidak mempunyai kenderaan dan baki akaun bank kurang daripada RM1.
Christy berkata, individu terbabit sepatutnya hadir ke Mahkamah Tinggi semalam bagi pendengaran permohonan komital susulan dakwaan kegagalan mematuhi perintah mahkamah untuk menyiarkan permohonan maaf secara terbuka kepada pihaknya dalam akhbar.
Menurutnya, sebelum tarikh pendengaran itu, pihaknya sudah membuat panggilan telefon, menghantar e-mel serta pesanan ringkas kepada lelaki berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, individu itu menghubungi peguamnya pada pagi semalam dengan memaklumkan baki akaun banknya kurang daripada RM1 selain tidak mempunyai kereta atau kenderaan untuk ke mahkamah.
“Apa yang lebih pelik dan menghairankan, meskipun tidak hadir waktu perbicaraan tetapi individu terbabit masih aktif membuat hantaran di platform Threads,” katanya menerusi hantaran video di Instagram, semalam.
Beliau berkata, mahkamah mengarahkan pihaknya mendapatkan bantuan pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu membawa individu terbabit hadir ke mahkamah.
Sehubungan itu, Christy berharap lelaki berkenaan memberikan kerjasama dan menghadirkan diri pada prosiding permohonan komital di Mahkamah Tinggi pada 26 Oktober ini.
Sebelum ini, Christy bersama syarikatnya, Christy Ng Sdn Bhd, selaku plaintif memfailkan permohonan komital terhadap Vikneshvra Rau di Mahkamah Tinggi.
Permohonan itu dibuat susulan dakwaan defendan gagal menyiarkan permohonan maaf tanpa syarat sepanjang satu halaman penuh dalam akhbar berbahasa Melayu dan Inggeris seperti yang diarahkan mahkamah.
Mahkamah menetapkan 26 Oktober ini sebagai tarikh baharu pendengaran permohonan berkenaan selepas defendan gagal hadir pada prosiding sebelumnya.
Pada akhir Julai lalu, Christy dan syarikatnya memenangi kes saman fitnah apabila Mahkamah Tinggi memerintahkan pengendali akaun Threads @archnionverse membayar ganti rugi sebanyak RM180,000.
Selain itu, defendan turut diarahkan membayar faedah, kos guaman sebanyak RM10,000 serta menyiarkan permohonan maaf secara terbuka menerusi akhbar dan semua akaun media sosial miliknya.
Keputusan itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi merekodkan penghakiman ingkar pada 13 Februari yang memihak kepada Christy dan syarikatnya.
Mahkamah mendapati defendan bertanggungjawab atas kesalahan fitnah, gangguan serta campur tangan secara tidak sah terhadap perdagangan dan perniagaan syarikat berkenaan.

