PAS akan mencabar kesahihan Perintah Pembatalan Pendaftaran Perikatan Nasional (PN) susulan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membatalkan pendaftaran gabungan itu hari ini.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perikatan turut memohon supaya pelaksanaan perintah berkenaan serta segala kesannya ditangguhkan sementara menunggu keputusan mahkamah.
“PN akan mencabar kesahihan Perintah Pembatalan dan memohon supaya pelaksanaan serta segala kesannya ditangguhkan sementara menunggu penentuan Mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pembatalan itu menimbulkan persoalan serius mengenai tujuan penggunaan kuasa berkenaan serta penghormatan kerajaan terhadap proses kehakiman yang sedang berlangsung.
Ini susulan keputusan tersebut diambil dua hari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadualkan mendengar permohonan PN untuk menangguhkan tindakan RoS mengeluarkan notis ketidakpatuhan dan menggantung semua aktiviti gabungan itu.
PN Cabar Kesahihan Perintah Pembatalan Pendaftaran
“Keputusan untuk bertindak sebelum pendengaran tersebut menimbulkan persoalan serius tentang tujuan penggunaan kuasa ini dan penghormatan kerajaan terhadap proses kehakiman,” ujarnya.
Ujar Takiyuddin, RoS sebelum ini menyatakan isu yang dibangkitkan PN akan dijawab di mahkamah, manakala Jabatan Peguam Negara menegaskan keperluan pendengaran secara dua pihak.
Bagaimanapun, katanya, pembatalan dibuat sebelum pendengaran berlangsung sehingga mengubah kedudukan pertikaian yang sepatutnya dipertimbangkan terlebih dahulu oleh mahkamah.
“Kerajaan yang menghormati kedaulatan undang-undang sepatutnya memberikan ruang kepada Mahkamah untuk memutuskan permohonan tersebut, dan menjelaskan mengapa tempoh dua hari pun tidak dapat ditunggu,” jelasnya.
Beliau turut mendakwa urutan tindakan berkenaan menimbulkan persoalan serius mengenai kemungkinan unsur niat tidak baik serta tujuan politik menjelang pilihan raya Melaka.
Menurutnya, notis RoS dikeluarkan pada 22 September lalu ketika pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka diumumkan, sebelum penggantungan dibuat sehari kemudian.
“Alasan berhubung mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai 2026 juga bercanggah dengan pendirian bertulis Pendaftar pada tarikh tersebut bahawa Jabatannya “tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan”, sedangkan jawapan terperinci PN ditolak sebagai “tidak memuaskan” tanpa alasan substantif,” katanya.
Takiyuddin menyifatkan tindakan berkenaan sebagai usaha mendahului pertimbangan mahkamah dan melemahkan lawan politik ketika pilihan raya Melaka semakin hampir.
“Sebuah kerajaan yang yakin terhadap kesahihan tindakannya sepatutnya bersedia mempertahankan keputusan tersebut di hadapan Hakim, bukannya mengubah kedudukan pihak-pihak ketika permohonan penangguhan bakal didengar,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Peguam Negara menjelaskan tindakan pembatalan berkenaan susulan pendirian jabatan tersebut ketika pendengaran permohonan penangguhan PN pada 22 Oktober ini.
Beliau berkata, PN turut akan mengambil tindakan terhadap pihak yang didakwa menghina serta membelakangkan proses mahkamah berhubung perkara berkenaan.
Takiyuddin turut mendakwa pembatalan pendaftaran itu mencerminkan penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan yang bimbang kehilangan sokongan rakyat menjelang pilihan raya Melaka.

