Siakap Keli

Mengenang Gugurnya 11,000 Perajurit, Ini Rupanya Individu Pegang Bendera Di Tugu Negara Yang Ramai Tak Tahu

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Disebalik keamanan dan keharmonian yang kita kecapi selama lebih 62 tahun ini, jangan lupakan jasa mereka yang sentiasa berada di barisan, berjuang bermati-matian demimempertahankan tanah pertiwi.

Sekarang, ia ‘termaktub’ menjadi amanah kita untuk terus mengekalkan legasi kesejahteraan ini. Kedaulatan negara juga perlu dijaga sebaik-baiknya untuk menghargai pengorbanan mereka yang terdahulu.

Di samping menyambut Hari Pahlawan dan Kemerderaan, Tugu Peringatan Negara atau lebih senang dikenali dengan nama Tugu Negara telah dibina pada 8 Februari 1966 sempena tanda peringatan serta penghormatan kepada lebih 11,000 perajuit tanah air yang gugur ketika mempertahankan negara.

Tugu setinggi 15 meter yang diperbuat daripada gangsa ini direka oleh seorang pengukir Austria bernama Felix de Weldon.

Beliau jugalah individu yang membina Tugu Peringatan Perang USMC (USMC War Memorial) di Virginia, Amerika Syarikat dan ia merupakan arca berkumpulan yang paling tinggi di dunia lebih kurang 23 meter.

Tugu Peringatan Perang USMC (Gambar: Trevor)

Sebenarnya, idea untuk membangunkan sebuah tugu pada asalnya telah muncul sewaktu ada usaha untuk membuat lakaran sebuah tugu pahlawan sebelum Tunku Abdul Rahman lakukan lawatan rasmi ke Washington di Amerika Syarikat sekitar tahun 1961.

Lakaran pertama untuk membuat Tugu Negara dibuat pada tahun 1958 di Kem Gunung Bongsu, Pulau Pinang yang membabitkan beberapa anggota tentera dari Rejimen Askar Melayu Diraja Ke Lima (5 RAMD).

Pemilihan anggota tentera untuk menjadi model lakaran tersebut dilakukan secara rawak oleh sarjan yang sedang bertugas.

Pada masa itulah beberapa anggota tentera yang berpakaian seragam lengkap dipilih oleh sarjan tersebut untuk dijadikan model lakaran.

Salah seorang individu yang dipilih itu adalah insan bernama Zainal Buy0ng, seorang tentera anak kelahiran Slim River, Perak.

Apa yang menariknya, Zainal Buyong adalah model awal untuk lakaran patung di bahagian tengah yang memegang bendera Malaysia untuk Tugu Peringatan Negara.

Zainal Buyong (Gambar: Luqman Hakim Zubir)

Mereka yang terpilih terpaksa berdiri, baring dan bergaya berjam-jam lamanya sementara menunggu pengukir siap melukis bentuk awal tugu tersebut.

Zainal Buyong sertai Rejimen Askar Melayu Diraja Ke Lima (5 RAMD) pada waktu usianya 20 tahun dan ketika umur semuda itu, beliau pernah terbabit dalam beberapa pertempuran dengan pengganas komunis seperti di Gunung Bongsu dan Sungai Bakap, Pulau Pinang.

Anak kelahiran Slim River, Perak ini punyai banyak jasa, pengorbanan dan sumbangannya kepada negara dan mengharapkan lebih ramai generasi muda kita pada hari ini untuk menilai kembali perjuangan mereka yang telah gugur di medan perang dahulu menghalang musuh negara untuk kesenangan dan keselesaan kita semua hari ini.

Ayuh anak muda, janganlah kita sesekali mengecewakan mereka yang telah berjuang mempertahankan negara dengan tidak menghargai perjuangan mereka dengan bersusah payah serta pahit getir sehingga ramai tentera negara dibunuh dengan begitu kejam.

Sumber: Orang Perak

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.