Siakap Keli
Gambar Hiasan(Foto: InterNations)

Baru Tahu, Ini Sebabnya Kenapa Ada Negara Yang Memandu Di Sebelah Kiri, Ada Yang Di Kanan

Seperti yang kita tahu, terdapat perbezaan dalam sistem pemanduan di negara-negara di dunia di mana ada negara yang memandu di sebelah kiri jalan dan ada negara yang memandu di sebelah kanan jalan.

Sebagai contoh, kita di Malaysia menggunakan sistem pemanduan di sebelah kiri jalan manakala Amerika Syarikat pula memandu di sebelah kanan jalan.

Menurut laman World Standards, hanya 35% daripada negara-negara di dunia sahaja yang mengamalkan pemanduan di sebelah kiri, selebihnya memandu di sebelah kanan.

Mana datangnya perbezaan ini? Apakah punca adanya kelainan sistem pemanduan di negara-negara di dunia?

Ia Mempunyai Hubung Kait Dengan Sejarah Dunia

a) Pahlawan berkuda

Ya, zaman empayar dulu kala sememangnya tiada kenderaan bermotor seperti hari ini. Mereka hanya menggunakan haiwan seperti kuda sebagai kenderaan dan kuda juga sinonim sebagai haiwan tunggangan perang sejak dulu lagi.

Gambar Hiasan(Foto: bgben UK)

Saya yakin bahawa ramai mengetahui yang majoriti manusia di muka Bumi ini mempunyai tangan kanan yang lebih dominan berbanding tangan kiri. Begitu juga dengan para pahlawan dulu kala.

Jadi, mereka lebih gemar menunggang kuda di sebelah kiri jalan dan memegang senjata menggunakan tangan kanan.

Ia sekaligus memberi lebih keselesaan untuk menghunus senjata seperti pedang sekiranya diserang atau ketika menyerang pihak musuh ketika berada di atas kuda.

b) Pemberontakan Bastille(Revolusi Perancis) dan penguasaan Napoleon

Bagi pemanduan di sebelah kanan pula, pemberontakan yang dikenali sebagai “Storming of the Bastille” semasa Revolusi Perancis didakwa antara pencetus pemanduan di sebelah kanan jalan.

Sebelum pemberontakan itu, bahagian kiri jalan hanya dikhaskan untuk digunakan oleh golongan atasan(aristokrat) sahaja manakala golongan bawahan perlu menggunakan sebelah kanan jalan.

Apabila berlakunya pemberontakan Bastille, aristokrat ini mula sedar dan semakin merendah diri serta menggunakan laluan sebelah kanan, sama seperti rakyat biasa.

Gambaran pemberontakan Bastille(Foto: NPR)

Perancis kemudiannya menguatkuasakan undang-undang penggunaan jalan raya di sebelah kanan pada tahun 1794.

Seterusnya, ia dikembangkan lagi di beberapa buah negara di Eropah apabila tentera Napoleon(Perancis) memulakan penaklukan di negara-negara seperti Belgium, Belanda, Jerman dan banyak lagi.

Manakala negara-negara yang menentang Napoleon termasuk Britain dan Portugal masih kekal menggunakan bahagian kiri jalan semasa menaiki apa-apa medium pengangkutan.

Majoriti Negara Koloni British Kekal Menggunakan Laluan Sebelah Kiri

Bercakap mengenai Britain, sehingga hari ini, kebanyakan negara koloni dan bekas jajahan British masih lagi menggunakan bahagian kiri jalan sebagai laluan utama termasuk Malaysia.

Foto: Travellers Autobarn

Selain Malaysia, antara negara bekas jajahan British yang kekal dengan sistem pemanduan ini ialah Australia, India serta beberapa negara di benua Afrika.

Hanya Mesir sahaja yang tidak menggunakan sistem ini kerana pernah dijajah oleh Napoleon terlebih dahulu sebelum dibebaskan British pada tahun 1922.

Tempat Duduk Pemandu Dipengaruhi Oleh Sistem Pemanduan

Perkara-perkara seperti di atas jugalah yang menjadi antara punca terdapatnya perbezaan di antara tempat duduk pemandu dalam kenderaan yang digunakan di sesebuah negara.

Jika dilihat negara-negara yang menggunakan pemanduan di sebelah kiri jalan, kenderaan yang dijual di sana kebanyakannya mempunyai tempat duduk pemandu di sebelah kanan kenderaan. Begitulah jua sebaliknya.

Foto: YouTube Roads Untraveled

Antara alasannya ialah bagi membolehkan pemandu mempunyai sudut pandang yang lebih luas untuk lorong sebelah atau bertentangan melalui cermin sisi kenderaan.

Bagi kita sebagai rakyat Malaysia yang sudah biasa memandu di sebelah kiri jalan, tidak ada masalah untuk kita memandu di negara-negara yang menggunakan sistem sama seperti Thailand, Indonesia mahupun Britain.

Akan tetapi, kita pasti akan mengalami sedikit kesukaran jika perlu memandu di negara-negara dengan sistem pemanduan kanan seperti Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, tidak kisahlah kita memandu di sebelah kiri atau kanan jalan, apa yang penting ialah mematuhi had laju, pandu dengan cermat dan paling utama, memberi signal jika mahu memasuki simpang atau menukar lorong. Anda mampu mengubahnya.

Sumber: History, World Standards, Business Insider

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.