Siakap Keli

Puluhan Remaja Di US Alami Kerosakan Teruk Paru-Paru, Didakwa Akibat Hisap ‘Vape’

Washington – Puluhan pesakit, kebanyakannya remaja dimasukkan ke hospital dengan kecederaan teruk pada paru-paru dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini didakwa berpunca daripada menghisap vape.

Jabatan kesihatan di Illnois, Minnesota dan Wisconsin telah mengeluarkan kenyataan terhadap kes-kes yang melibatkan pesakit yang menunjukkan simptom batuk teruk, kelesuan dan pening serta nafas pendek sehingga membuatkan mereka perlu diintubasi.

Pegawai di negeri-negeri itu telah melaporkan 30 kes yang mana 22 masih dalam siasatan bagi mengenalpasti punca masalah berkenaan.

Menurut jurucakap badan kesihatan di negeri tersebut, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan bahawa kes-kes tersebut bersangkutan, namun mereka masih giat menjalankan kajian bersama Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di negara itu.

Pakar penyakit respiratori di Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Winsconsin, Thomas Haupt berkata, mereka sedang menemubual kesemua pesakit untuk mencari persamaan antara para pesakit. Sebahagian daripada pesakit didapati menggunakan produk vape yang dimasukkan ganja.

“Sehingga kini, aktiviti menghisap vape menjadi satu-satunya perkara dilakukan oleh kesemua pesakit, tetapi kami cuba menyiasat lebih lanjut,” katanya.

Berdasarkan laporan oleh CDC, penggunaan vape dalam kalangan remaja di Amerika meningkat mendadak kebelakangan ini di mana 3.6 juta pelajar sekolah menggunakan produk tersebut pada 2018, meningkat 1.5 juta dari tahun sebelumnya.

Thomas turut memberitahu kes yang terlibat bukan sahaja melibatkan anak muda, tetapi mereka yang berusia 30-an dan 50-an.

Kebanyakan pesakit terpaksa menerima bantuan pernafasan dan mempunyai keganjilan pada alveoli.

Sementara itu, menurut Dr. Emily Chapman, ketua pegawai perubatan di Children’s Minnesota, pusat kesihatan kanak-kanak di Minneapolis, mereka menyangka empat remaja yang dimasukkan ke sana mengalami masalah jangkitan respiratori seperti pneumonia.

Tetapi situasi mereka semakin teruk walaupun diberi rawatan.

Salah seorang pesakit, Dylan Nelson, 26 mula berasa sakit setelah menghisap vape dari kartrij yang baru dibelinya. Keesokan pagi, simptomnya menjadi semakin teruk sepanjang hari.

Menurut adiknya, Dylan membeli vape tersebut di tepi jalan. Menjelang malam, paru-parunya dipenuhi cecair dan doktor terpaksa meletakkannya dalam keadaan koma.

Menurut pakar paru-paru pediatrik di Hospital John Hopkins, Dr. Christy Sadreameli, para pesakit berkemungkinan menghisap vape yang sama.

Katanya, vape mendatangkan bahaya kepada remaja disebabkan paru-paru mereka belum berkembang sepenuhnya.

“Aerosol tersebut mengandungi logam berat dan zarah toksik yang boleh menembusi paru-paru,” tambah Sadreameli.

Berdasarkan satu kajian oleh penyelidik dari Yale University, saintis mendapati terdapat bahan kimia acetal di dalam salah satu jenama rokok elektronik. Kata wakil penyelidik, bahan tersebut boleh menyebabkan iritasi pada paru-paru.

“Kejadian ini menunjukkan Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) perlu meneliti produk tersebut dan memeriksa impak produk terhadap kesihatan sebelum dipasarkan,” kata wakil penganjur kempen Campaign for Tobacco-Free Kids.

Sumber: Channel News Asia, NBC News

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.