Siakap Keli
Kredit: Pinterest

Drakula Si Penyula, Ini Kisah Drakula Sebenar Yang Tewas Di Tangan Tentera Al-Fateh Setelah Menyula Ribuan Manusia

Jika bercakap tentang drakula, pasti ramai yang terbayangkan si penghisap darah yang memburu mangsanya dan hidup beribu tahun lamanya.

Drakula sememangnya wujud dan kejam, tetapi jalan hidupnya berbeza dengan gambaran ideal yang ditunjukkan dalam filem-filem barat. Sosok ini juga dikatakan menjadi musuh ketat Sultan Muhammad Al-Fateh, sang penakluk Konstantinople.

Jom telusuri kisahnya.

Dracula atau Vlad III dilahirkan pada tahun 1431 dalam keluarga bangsawan di Transylvania. Ayahnya, Vlad II dipanggil Dracul kerana menjadi sebahagian daripada Ordo Naga (Order of the Dragon), angkatan kesatria yang ditubuhkan untuk menentang Empayar Uthmaniah.

Dracula disebut Dracul-ae dalam bahasa Romania, di mana draco bermaksud naga, dan -ae yang bermaksud ‘anak kepada’, menjadikannya ‘anak kepada naga’.

Ordo Naga diasaskan pada 12 Disember 1408 oleh Sigismund von Luxembourg yang merupakan raja Hungary pada ketika itu.

  • Dracul – Vlad II
  • Dracula – Vlad III / Vlad Sang Penyula

 

Tempat lahir Dracula, Transylvania merupakan sempadan antara dua empayar terbesar ketika itu; Empayar Turki Uthmaniyah dan Raja Hungary.

Bapanya, Vlad II telah diberi kepercayaan untuk memimpin Wallachia, salah satu jajahan di bawah kesultanan Uthmaniah. Sebagai jaminan kesetiaan, Dracula dan adiknya Radu cel Frumos dididik bawah kesultanan tersebut dan menyertai pasukan ketenteraan Janissari, kumpulan elit tentera milik sultan Uthmaniyah.

Wilayah di bawah empayar Turki Uthmaniyah suatu ketika dahulu. (Kredit: ThoughtCo.com)

Dalam angkatan Janissari yang menjadi kumpulan tentera terbaik pada masa itu, mereka berdua mempelajari ilmu dan strategi peperangan tentera Islam.

Pada usia 13 tahun, Dracula mengangkat sumpah di dalam Ordo Naga untuk memerangi kaum Muslimin kerana kebenciannya kepada kaum Muslimin; bertentangan dengan adiknya, Radu Cel Frumos yang memeluk agama Islam.

Ketika usianya 16 tahun, ayah mereka, Vlad II dibunuh oleh angkatan John Hunyadi, Raja Hungary yang cuba merampas Wallachia. Berikutan itu, kesultanan Uthmaniyah menghantar bantuan untuk membebaskan wilayah itu daripada Hunyadi.

Ayah kepada Muhammad Al-Fatih, Sultan Murad II kemudiannya memberi kepercayaan kepada Dracula bagi menggantikan ayahnya untuk memimpin Wallachia.

Kredit: Wikipedia

Kerana kebencian terhadap ayahnya yang tunduk pada Muslim, Dracula menggunakan kesempatan tersebut untuk merosakkan pertahanan orang Islam pada ketika itu.

Dia yang boleh berbahasa Arab, Turki dan mempunyai pengetahuan ketenteraan berpura-pura menjadi sebahagian daripada benteng pertahanan Muslim dan menghancurkannya dari dalam.

Dia menguasai Wallachia dari 1448 sehingga ditewaskan tentera Al-Fateh dalam beberapa siri pertarungan.

Gelaran ‘Si Penyula’

Sembilan tahun setelah kejatuhan Kota Konstantinopel pada 1453, Al-Fateh menghadapi Dracula secara khusus dengan menghantar 1,000 tentera diketuai oleh Hamzah Bey.

Nasib angkatan tentera tersebut berakhir dengan tragis apabila mereka tewas di tangan Dracula yang sememangnya faham akan strategi peperangan umat Islam seperti yang dipelajarinya ketika di Janissari.

Setelah dikalahkan, tentera-tentera tersebut disula dan menjadi hutan mayat manusia. Komander pasukan, Hamza Bey disula pada kayu paling tinggi dan dicacak di tengah-tengah sebagai simbol.

Sejak itu, Dracula digelar Tepes (disebut tsep-pesh) atau The Impaler yang bermaksud Sang Penyula.

Dracula gemar membiarkan mangsa yang disula terseksa selama berhari-hari sehingga mati. Mangsa kemudiannya dibiarkan menjadi santapan burung pemangsa seperti hering yang memakan daging mayat yang mula mereput.

Bukan itu sahaja, dia juga pernah dikatakan menjamu selera berhampiran hutan manusia tersebut di samping pernah mencicah roti di dalam darah mangsa.

Tidak terhenti di situ, Muhammad Al-Fateh menghantar adiknya, Radu Cel Frumos yang memahami selok belok Romania untuk memimpin 90,000 tentera Janissari menerobos hutan dan kawasan berbukit bagi menghadapi Dracula yang berlindung di benteng Poenarinya yang kukuh.

Dalam satu pertempuran dengan tentera Turki, Dracula dikatakan melarikan diri ke kawasan pergunungan dan menyula sesiapa sahaja yang ditemuinya. Kemaraan Turki terpaksa dihentikan kerana tidak mampu menahan bau mayat yang mereput.

Gambaran peristiwa The Night Attack. (Kredit: The Burn Pit)

Walaubagaimanapun pada 1462, Dracula akhirnya tewas dalam serangan pada waktu malam atau dikenali sebagai ‘Atacul de Noapte’ atau The Night Attack. Radu kemudiannya menggantikan abangnya menjadi pemimpin Wallachia.

Dracula kemudiannya lari dan meminta perlindungan pembunuh ayahnya, John Hunyadi sehinggalah mati dibunuh tentera Uthmaniyah pada 1478. Sepanjang hayatnya, Dracula dikatakan telah membunuh lebih kurang 50,000 orang manusia.

Usaha Dracula mempertahankan Kristian pernah dipuji Vatican, namun mereka menolak caranya yang sangat kejam.

Gambar hiasan. (Kredit: Pinterest)

Kini, Dracula diangkat menjadi tokoh yang berperanan penting sebagai pahlawan negara dalam Peperangan Salib. Patung-patung Dracula bertebaran di serata negara itu sebagai simbolik kepentingannya dalam lipatan sejarah Romania.

Bagi Muslim, Dracula merupakan sosok yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Namun, kisah-kisah Dracula sering dipaparkan dengan penceritaan yang menyimpang dari hakikat sebenar dan mengelirukan, sehingga membuatkan umat Islam sendiri terpikat dengan jalan cerita dan identiti Dracula yang ditonjolkan.

Sumber: InfoPlease.com, Hastag TV

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.