Siakap Keli

Sedang ‘Nazak’, Ini 7 Fakta Menarik Kenapa Hutan Hujan Amazon Amat Penting Kepada Manusia

Dunia ketika ini sudahpun sedia maklum bahawa Hutan Hujan Amazon yang terletak di benua Amerika Selatan sedang menghadapi krisis dimana ia sedang terbakar dipercayai sejak 15 Ogos lagi.

Menurut laporan media antarabangsa, kebakaran yang sedang berlaku ketika ini berada pada kadar kepantasan yang tak diduga.

Selain itu, media turut menyebut bahawa saintis merekodkan sebanyak 74,000 kebakaran di Brazil sepanjang tahun ini, sekali ganda berbanding rekod tahun lepas iaitu sebanyak 40,000 kebakaran.

Kebakaran Hutan Hujan Amazon ini mewujudkan kebimbangan  komuniti antarabangsa. Berikut adalah beberapa fakta menarik mengenai hutan tersebut.

1. Hutan hujan tropika terbesar di dunia.

Saiz Hujan Tropika meliputi kawasan seluas 5.5 juta kilometer persegi. Saiz ini mampu memuatkan dua buah negara iaitu United Kingdom dan Ireland sebanyak 17 kali. Malah, saiz ini juga melebihi separuh daripada jumlah keseluruhan hutan hujan yang ada di atas muka Bumi.

2. Sungai kedua terpanjang di dunia.

Mengalir dari kawasan utara, panjang Sungai Amazon adalah 6,480 kilometer. Jarak ini meletakkan Sungai Amazon sebagai sungai kedua terpanjang di dunia, di belakang Sungai Nil.

3. Rumah kepada kumpulan orang asli Amazon.

Seramai 400 hingga 500 orang puak orang asli Amerindian menjadikan Hutan Hujan Amazon sebagai tempat tinggal. Menurut National Geographic, mereka percaya sekurang-kurangnya 50 orang ahli puak tersebut tidak pernah terdedah kepada dunia luar.

4. Dihuni pelbagai spesis.

Banyak spesis-spesis flora dan fauna ditemui di hutan hujan ini antaranya adalah belut elektrik, piranha, katak beracun, jaguar dan pelbagai lagi ular berbisa.

5. Dianggap sebagai paru-paru dunia.

Fakta kelima ini menjadikan Hutan Hujan Amazon sangat penting kepada dunia. Lebih daripada 20 peratus oksigen dunia dibekalkan oleh hutan ini.

Seperti kita tahu, manusia bernafas menggunakan oksigen untuk terus hidup. Selain itu, disebabkan saiz hutannya yang besar, Hutan Hujan Amazon juga merupakan penapis kepada jumlah karbon dioksida yang berada di dalam udara.

6. Hutan yang sangat tebal.

Lantai Hutan Hujan Amazon dikatakan sentiasa bergelap disebabkan pohon merimbun yang sangat tebal. Malah, air hujan memerlukan masa sehingga 10 minit untuk sampai ke tanah disebabkan banyaknya daun.

7. Sempadan sembilan negara.

Negara-negara tersebut adalah Brazil, Peru, Colombia, Venezuela, Ecuador, Bolivia, Guyana, Suriname dan French Guiana.

Sumber: National Geographic

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.