Kasih ibu membawa ke Syurga, segala pengorbanan dan kudrat yang dicurahkan tidak mampu terbalas dengan wang ringit mahupun intan berlian.
Segala-galanya rela dilakukan demi untuk membesarkan si anak tersayang. Tanpa mengenal erti penat, ibu sentiasa berusaha menzahirkan perasan kasih sayangnya melalui perbuatan.
Namun beberapa kisah yang didakwa terjadi kepada seorang ibu tua ini amat meruntun jiwa. Dia dipercayai telah dibiarkan tinggal berseorangan dalam sebuah kereta lama.
Kisahnya itu lalu mendapat perhatian pihak Lembaga Zakat Selangor yang menemuinya untuk memberikan bantuan kepadanya. Mereka kemudiannya telah memuatnaik hantaran mengenai pertemuan itu di laman Facebook.
Difahamkan bahawa ibu ini ditemui tinggal di dalam kereta. Mendapat makanan jika ada yang menghulurkan bantuan kepadanya.
Zakat Selangor daerah Klang menerima berita ini. Kami terus bergegas ke lokasi yang dilaporkan. Sebak dan kasihan melihatnya. Terlalu peribadi untuk diceritakan sebab ibu ini terpaksa tinggal di dalam kereta buruk ini.

Hari ini, Zakat Selangor bersama pemimpin dan penduduk, membantu mendapatkan rumah baru untuk ibu ini. Kami segera pindahkannya. Walaupun mungkin tidak sempurna lagi, namun rumah ini lebih selamat untuk didiami.

Wang bantuan kecemasan zakat sebanyak RM500 dihulurkan.
Menangis sambil mengucapkan terima kasih tidak lengkang dari mulutnya. Bersamalah kita doakan ibu ini diberikan kekuatan untuk meneruskan hidupnya.
Sumber: Lembaga Zakat Selangor