Siakap Keli
Gambar Hiasan(Foto: Wikipedia)

Peluru Tembusi Perut Pertahan Negara

KOTA BHARU, 26 Ogos (Bernama) — Peristiwa peluru menembusi perut ketika menentang komunis sejak hampir empat dekad lalu, masih segar dalam ingatan bekas tentera Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) Pegawai Waran II (PW II) A. Rahman Wahid, 62 tahun.

Menceritakan pengalamannya sewaktu berdepan dengan pengganas komunis bagi mempertahankan negara, beliau berkata dalam kejadian operasi khas pada 16 Sept 1982, platunnya seramai 15 anggota dikerahkan masuk ke satu kawasan hutan simpan di Durian Tipus, Negeri Sembilan.

Bapa kepada tujuh anak itu berkata, operasi khas berkenaan digerakkan bertujuan menjejaki laluan dan tempat yang mungkin digunakan oleh pihak komunis sebagai tempat rehat atau kem sementara mereka.

Katanya, dengan hasil bantuan risikan daripada penduduk Orang Asli di sekitar kawasan itu, platunnya mula membuat tinjauan kira-kira pukul 1 pagi dan setelah hampir dua jam meninjau, mereka membuat keputusan untuk berpecah.

“Daripada 15 anggota dalam platun itu, hanya saya dan empat lagi anggota yang diarahkan untuk terus mara ke hadapan bagi membuat tinjauan di sekitar kawasan atas bukit,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Ketereh di sini, hari ini.

“Bagi mengelakkan kedatangan kami dihidu oleh komunis, sekali gus untuk mengurangkan bunyi tapak kaki, saya dengan rela hati menawarkan diri untuk memantau keadaan di puncak bukit secara bersendirian,” katanya.

Katanya, selepas beberapa meter berjalan ke hadapan beliau berjaya mengesan tapak kasut yang berkemungkinan milik komunis.

“Ketika hendak tunduk bagi memastikan ianya adalah betul kesan tapak kasut, secara tiba-tiba saya diserang hendap dan ditembak oleh komunis dengan hanya jarak kira-kira 20 meter,” katanya.

Malah, ketika terkena tembakan itu, beliau tidak merasa sakit dan tidak sedar dirinya sudah terkena tembakan sehinggalah melihat darah memancut keluar tanpa henti di bahagian kiri perut.

“Bagi menghentikan darah daripada terus mengalir saya menggunakan pembalut luka yang dibawa sementara menunggu bantuan yang tiba hampir lima jam selepas itu,” kata A. Rahman.

Katanya selepas insiden itu, beliau menerima rawatan di Hospital Besar Seremban selama dua bulan dan dihentikan daripada mengikuti operasi dan hanya bertugas di dalam kem sahaja selama sembilan tahun.

“Walaupun kesan parut tembakan masih jelas kelihatan sehingga ke hari ini, namun ianya tidak mematahkan semangat perjuangan saya malah berasa bangga kerana dapat berkhidmat dan pertahankan tanah air daripada ancaman komunis,” katanya.

Katanya, setiap kali mengikuti operasi beliau tidak pernah lupa untuk membawa surah Yasin sebagai pelindung diri daripada sebarang ancaman bahaya.

“Jika diikutkan logik, saya menjangkakan tembakan itu akan mengenai bahagian dada saya, namun ianya tersasar ke perut dan saya beranggapan mungkin ianya disebabkan amalan saya yang sentiasa membawa Yasin setiap kali menyertai operasi,” katanya sambil berseloroh.

A. Rahman berkata, beliau bersara pada Oktober 1998 dan mengakhiri khidmatnya di Unit 105 Infantri di Kem Tentera Pengkalan Chepa.

Beliau juga menasihati generasi muda kini supaya mengukuhkan perpaduan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama agar kemerdekaan yang dikecapi dan dinikmati hari ini dapat dipertahankan selamanya.

Sumber: BERNAMA

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.