Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini telah mengesahkan bahawa Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Astro sebagai penyiar rasmi bagi kesemua empat perlawanan yang bakal berlangsung di Stadium Bukit Jalil untuk pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan bermula pada Khamis ini bersamaan dengan 5 September 2019.
Astro sebelum ini merupakan pemegang tunggal hak penyiaran bagi kesemua perlawanan yang melibatkan skuad Harimau Malaya. Berikutan dengan pengumuman tersebut, penyokong skuad Harimau Malaya boleh mendapat manfaat daripadanya untuk menyokong perjuangan pasukan negara bagi melayakkan diri dalam kejohanan yang berprestij itu.
Menurut Presiden FAM, Dato’ Haji Mohd Amin menyatakan bahawa pemilihan RTM dan Astro adalah demi memastikan aksi skuad Harimau Malaya dapat ditonton oleh semua rakyat Malaysia tidak kira di mana mereka berada.
“Siaran langsung perlawanan skuad Harimau Malaya ini boleh ditonton di saluran televisyen percuma (RTM) atau di saluran berbayar (Astro). Tiada sebab untuk mereka tidak dapat menonton siaran langsung.
“Jadi besarlah harapan saya supaya semua rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa dan lapisan masyarakat, bersama-sama memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya kita demi memastikan keputusan positif dapat dicapai.”
Berikutan dengan itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Gobind Singh Deo berharap agar kerjasama di antara RTM dan FAM ini dapat menggembirakan serta memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia yang tidak melanggan saluran televisyen yang berbayar.
“Selama ini kita sering mendengar permintaan peminat dan penyokong bola sepak Malaysia yang mahukan RTM turut menyiarkan siaran langsung perlawanan membabitkan skuad kebangsaan, Harimau Malaya.
“Dengan kerjasama bersama FAM kali ini, saya cukup bangga kerana apa yang diminta oleh rakyat Malaysia itu telah direalisasikan. Bola sepak adalah untuk semua dan saya berharap seluruh rakyat Malaysia dapat sama-sama menonton perlawanan secara langsung itu nanti,” kata Gobind.
Sementara itu, Ketua Bahagian Sukan Astro, Lee Choong Khay pula berharap agar kerjasama Astro bersama FAM dalam hak penyiaran bagi kesemua perlawanan skuad bola sepak kebangsaan dapat menaikkan semangat para peminat, penyokong dan juga pemain-pemain skuad Harimau Malaya.
“Sudah tentu Astro gembira kerana sekali lagi diberikan hak penyiaran untuk kempen kelayakan kali ini. Kami akan pastikan semangat dan cabaran skuad Harimau Malaya dalam Kumpulan G ini bukan sahaja disaksikan secara langsung, tetapi penerbitan program yang bakal menyediakan nilai tambah bagi memperkukuhkan lagi sokongan peminat kepada pasukan negara,” ujar Choong Khay.
Sumber: FAM