Siakap Keli

Tular Lagi Mesej Berantai Status Halal Starbucks, JAKIM Tampil Bukti

Sejak beberapa hari yang lalu, tular di media sosial serta aplikasi sosial lain dengan rantaian mesej yang mendakwa bahawa jenama minuman terkenal, Starbuck Malaysia telah disahkan haram oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Mesej berantai tersebut mendapat banyak perkongsian sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai status sebenar jenama minuman tersebut.

Disebabkan kekeliruan yang dialami oleh orang ramai, pihak JAKIM melalui satu hantaran di laman Facebook rasmi mereka tampil menjawab segala persoalan mengenai status halal itu.

Gambar: JAKIM

Menurut penjelasan berkenaan, JAKIM sendiri telah mengesahkan bahawa Starbuck Malaysia merupakan pemegang Sijil Halal Malaysia yang masih sah sehingga kini. Perkara ini bermakna penularan mesej berantai mengenai status minuman Starbucks tidak halal adalah tidak tepat.

Tambah lagi, penularan isu berkenaan boleh dikatakan berlaku pada setiap tahun dengan pelbagai tuduhan dan fitnah terhadap status sebenar Starbucks Malaysia. Perkara ini adalah disebabkan oleh keghairahan warganet yang berkongsikan sesuatu mesej tanpa usul periksa terlebih dahulu.

Pihak JAKIM juga turut menyarankan agar semua pihak bersikap tabayyun sebelum menghukum dan menyemak dahulu sesuatu maklumat sebelum menyebarkannya. Perkara ini adalah supaya orang ramai tidak terjebak kepada dosa menyebarkan fitnah. Selain itu, orang ramai juga diajak untuk mengutamakan premis yang mempunyai Sijil Pengesahan/Logo Halal Malaysia atau Logo Halal Luar Negara yang telah diiktiraf oleh JAKIM.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Nur Farra