Siakap Keli
Gambar : Bernama

Jerebu Kian Teruk, Mengapa Masih Ada Sekolah Belum Ditutup?

Keluar sahaja rumah atau buka sahaja jendela, sudah pasti anda akan terganggu dan terjejas dengan asap tebal ekoran masalah jerebu kini yang kian teruk dari hari ke hari. Sehingga saat ini, terdapat 29 kawasan di negara kita yang mencatatkan kualiti udara tidak sihat (25), sangat tidak sihat (3) dan bahaya (1), menurut Laporan Jabatan Alam Sekitar.

Keadaan ini sangat membimbangkan terutamanya buat bayi dan kanak-kanak yang sememangnya memerlukan perhatian yang lebih khusus daripada ibu bapa. Jika semakin teruk, sekolah perlu ditutup bagi mengehadkan waktu kanak-kanak berada di luar rumah kerana mereka sangat mudah dijangkiti.

Pun begitu, masih ada sekolah yang belum ditutup walaupun masalah jerebu kian teruk. Apakah yang menyebabkan perkara ini berlaku? Ikuti perkongsian oleh Hello Doktor seperti di bawah,

Kes kematian melibatkan bayi berusia 4 bulan

Sebelum itu, ibu bapa perlu tahu bahawa jerebu bukan merupakan satu masalah yang ringan kerana ia sebenarnya adalah berbahaya buat si kecil anda sehingga boleh mengakibatkan kematian! Menurut satu kes terbaharu di Palembang, Indonesia, seorang bayi berusia 4 bulan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Rumah Sakit Ar-Rasyid. 

Selepas siasatan, bayi bernama Elsa Fitaloka ini meninggal dunia akibat jangkitan saluran pernafasan, dikhuatiri disebabkan oleh masalah jerebu yang sangat teruk di sana. Elsa pada mulanya mengalami sesak nafas dan hanya dirawat di rumah. Namun selepas melihat keadaannya semakin teruk, ibu bapanya terus membawa dia ke hospital. 

Menurut doktor, kematiannya berkemungkinan tinggi berpunca daripada bakteria, namun masih belum dimuktamadkan kerana masih memerlukan pemeriksaan lanjut. Pun begitu, ibu bapanya mempercayai bahawa kematiannya adalah disebabkan oleh jerebu ekoran daripada aktiviti ‘karhutla’ atau kebakaran hutan dan lahan.

Jadi, ibu bapa sewajarnya lebih berjaga-jaga dan tidak hanya beranggapan bahawa jerebu ini adalah masalah yang hanya boleh diselesaikan dengan pemakaian topeng muka semata-mata.

Lagi sekolah ditutup kerana bacaan IPU tinggi

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), sebanyak 531 sekolah telah ditutup membabitkan 363,991 pelajar iaitu di Sarawak (298), Negeri Sembilan (63), Selangor (145) dan Putrajaya (25). Pihak mereka turut menasihatkan orang ramai khususnya yang tinggal di kawasan dengan IPU tinggi untuk mengurangkan aktiviti di luar rumah. Sebagai langkah pencegahan awal, sila pastikan anda gunakan topeng muka dengan cara yang betul.

Sekiranya sekolah telah ditutup dan anak mereka tidak perlu lagi hadir ke sekolah untuk sekian waktu yang ditetapkan, sudah pasti ibu bapa akan berasa sedikit lega.

Pun begitu, masih ada sekolah yang belum ditutup meskipun jerebu di kawasan itu kian teruk. Apakah sebabnya?

Seperti kes yang berlaku di Melaka, sebanyak 315 buah sekolah di negeri itu diputuskan untuk tidak ditutup kerana situasi jerebu di sana direkodkan semakin baik. Ini menunjukkan bahawa tahap keterukan jerebu tidak boleh ditentukan dengan mata kasar sahaja.

“Melihat kepada Laporan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang merekodkan bacaan kualiti udara semakin menurun, pihak kami memutuskan tiada keperluan untuk penutupan semua sekolah di negeri Melaka”, kata Datuk Abu Bakar Sahari, Pengarah Pendidikan Negeri.

Konklusinya, sekolah hanya akan ditutup jika bacaan IPU mula mencecah paras tidak sihat yang telah ditetapkan. Keputusan ini perlu disambut baik oleh ibu bapa kerana ia sebenarnya turut melibatkan nyawa anak anda. Paling penting, ibu bapa harus kurangkan membawa bayi dan kanak-kanak keluar dari rumah terutamanya jika anda tinggal di kawasan dengan IPU yang tidak sihat. Lebih baik mencegah daripada mengubati, bukan? 

Sumber : Hello Doktor

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Nur Farra