Siakap Keli
Gambar: FB

Ceroboh Wilayah Negara, APMM Halau Kapal Penguatkuasa Vietnam Di Laut Terengganu

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah berjaya mengusir keluar sebuah kapal penguatkuasa Vietnam yang mengganggu APMM menjalankan tugas ketika menahan sebuah bot nelayan daripada Vietnam kerana menceroboh sempadan perairan Malaysia untuk merompak hasil laut negara di Terengganu pada 18 September lalu.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Haji Ibrahim Bin Mohamed menyatakan, dalam kejadian yang berlaku pada jam lebih kurang 9.48 pagi itu, sebuah kapal penguatkuasa Vietnam (KN 205) itu meminta agar pihak APMM melepaskan bot nelayan mereka daripada ditahan, namun pihak APMM tidak mengendahkan permintaan mereka kerana dakwanya bot nelayan tersebut telah melakukan kesalahan yang berat.

Berikutan dengan itu, kapal penguatkuasa Vietnam terbabit cuba menghalang kapal milik APMM (KM Langkawi) dengan cuba menghimpit bot tahanan yang sedang dikawal untuk dibawa pulang bagi siasatan lanjut selain membuat pusingan berbahaya dihadapan KM Langkawi. Walau bagaimanapun, pihak APMM berjaya mengusir kapal tersebut keluar daripada perairan negara.

Bot nelayan terbabit bersama tiga nelayan termasuk tekong warga Vietnam itu berjaya ditahan. Peralatan menangkap ikan serta minyak diesel kira-kira 9,000 liter yang dianggarkan bernilai RM700,000 turut dirampas.

Bot dan kesemua kru Vietnam tersebut akan didakwa di bawah Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan, dan juga Seksyen 6 (1) (c), Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Sumber: APMM

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.