Siakap Keli
Gambar: Bernama

Rampasan Dadah Terbesar Negara, Kokain Dalam Arang Batu Bernilai RM 2.4 Bilion Dirampas Di Pulau Pinang

George Town – Polis berjaya merampas 12 tan kokain dicampur arang batu bernilai RM 2.4 bilion dalam tiga kontena di Terminal Kargo Utara Butterworth daripada satu sindiket penyeludupan dadah antarabangsa pada 10 September lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pada sidang media di Balai Polis Bayan Baru semalam berkata, polis menerusi Op Eagle yang melibatkan kawasan sekitar Butterworth, Bayan Baru serta Padang Serai, Kedah telah menumpaskan sindiket yang membawa 60 guni arang batu dari Amerika Selatan.

“Ini merupakan rampasan dadah terbesar di negara ini,” katanya.

Menurutnya, sindiket tersebut cuba mengaburi berkuasa dengan mencampurkan dadah bersama 60 tan arang batu membuatkannya sukar dikesan walaupun menggunakan anjing pengesan K9.

Oleh itu, polis terpaksa mendapatkan bantuan Jabatan Kimia bagi mengesan dadah tersebut.

Gambar: Bernama

Kata beliau, sindiket tersebut menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum mengedarkan dadah dalam ketiga-tiga kontena berkenaan ke negara ketiga.

Seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang positif methamphetamine turut ditahan sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan, katanya.

Kes disiasat menurut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata kerajaan wajar membangunkan kemajuan teknologi terkini jabatan-jabatan terlibat kerana sindiket antarabangsa kini menggunakan pelbagai kaedah canggih untuk mengaburi pihak berkuasa.

Beliau menyifatkan jumlah tangkapan dan rampasan dadah di negara ini dalam sembilan bulan pertama tahun ini amat membimbangkan.

Sejak 1 Januari sehingga 12 September ini, seramai 130,928 individu telah ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah antaranya membekal (19,948 orang), memiliki (48,468 orang) dan positif ujian air kencing (62,891 orang), katanya.

Difahamkan, semua rampasan sepanjang tempoh itu melibatkan lebih lima tan dadah pelbagai jenis bernilai RM285.92 juta.

Sumber: Bernama

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.