Siakap Keli
Gambar : Pantai Mek Mas/Bernama

Sayu, Bangsal Jadi Tempat Berteduh Lapan Sekeluarga

Kota Bharu : Kerana tidak mahu membebankan penyewa kerana lambat membuat bayaran sewa rumah, lapan sekeluarga nekad meninggalkan rumah sewa yang didiami di Panchor, Pengkalan Chepa dan memilih untuk tinggal di dalam bangsal di Pantai Mek Mas di sini.

Pengamal perubatan Islam, Imran Amin, 59, yang berasal dari Pekan, Pahang berkata mereka sekeluarga meninggalkan rumah yang disewa sejak 15 tahun lepas kerana tidak mahu menanggung hutang kerana lambat membayar sewa rumah.

Imran membawa isteri dan enam anaknya yang berumur antara satu setengah tahun hingga 19 tahun untuk tinggal di sebuah bangsal sejak 10 hari lepas yang dibina secara bergotong-royong oleh penduduk kampung.

Lebih menyedihkan, keadaan bangsal yang dibina atas tanah rizab pantai itu hanya berdindingkan zink dan kain, selain hanya mengharapkan bekalan elektrik daripada jiran tetangga dan tandas awam.

Imran, yang mula berhijrah ke Kelantan sejak 1990 untuk menuntut ilmu di sini, berkata beliau mengambil tindakan itu selepas tidak lagi mampu membayar sewa rumah berikutan pendapatan yang tidak menentu setiap bulan sebagai pengamal perubatan Islam manakala isterinya, Zainon Yakob, 39, hanya suri rumah sepenuh masa.

Beliau berkata disebabkan kesempitan hidup juga, dua anaknya, Siti Nor Shafika, 16, dan Siti Nor Hidayah,13, terpaksa berhenti sekolah sejak dua tahun lepas.

”Kalau nak ikutkan semua anak-anak saya mahu bersekolah namun disebabkan ketidakmampuan mereka terpaksa berhenti.

”Walaupun yuran sekolah percuma, namun keperluan lain termasuk buku, tambang ulang alik ke sekolah, wang saku harian mereka dan sebagainya memerlukan duit yang banyak,” katanya ketika ditemui sumber di Pantai Mek Mas di sini, hari ini.

Beliau berkata anak sulungnya, Siti Nuha Tasurunnaazirin, 19, telah berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki.

Bercerita lanjut, Imran berkata ada satu ketika beliau sekeluarga hanya makan nasi berkuah budu.

”Kami makan apa yang ada selain mengharapkan bantuan dan sumbangan yang diberikan oleh orang ramai. Kadang-kadang terpaksa makan nasi yang telah dimasak semalam untuk bertahan sepanjang hari,” katanya.

Beliau turut mendakwa telah memohon bantuan daripada eKasih sejak 2011 namun tidak pernah terpilih untuk menerima bantuan itu.

”Besar harapan saya agar ada pihak yang sudi membantu keluarga saya dan keutamaan saya ketika ini adalah rumah sebagai tempat untuk keluarga saya berlindung,” katanya.

Orang ramai yang mahu menyalurkan sumbangan kepada keluarga ini boleh berbuat demikian menerusi akaun CIMB Bank bernombor 7613557825 atas nama Imran Amin atau menghubunginya di talian 01151207784.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.