Siakap Keli
Gambar: Wolipop

Sehari 3 Kali Minum “Bubble Tea”, Gumpalan Dipercayai Boba Ditemui Di Dalam Usus Lelaki Ini

Minuman jenis bubble tea adalah sejenis minuman yang pernah tular dan amat mengiurkan. Tetapi, anda perlulah berhati-hati dan bijak dalam mengehadkan pengambilannya.

Seorang lelaki yang berasal dari Vietnam telah disahkan mengalami usus tersumbat kerana dipercayai terlalu kerap mengambil minuman jenis ini sehinggakan boba itu menggumpal di dalam perutnya.

Difahamkan, lelaki tersebut mengambil minuman itu sebanyak tiga kali dalam sehari. Pengambilan minuman tersebut juga tidak diimbangi dengan sumber nutrisi yang diperlukan oleh badan.

Lelaki tersebut mula menyedari bahawa ada yang tidak kena dengan perutnya setelah dia mengalami sakit perut yang tidak beransur pulih selama 20 hari walaupun dia telah mendapatkan rawatan di klinik yang berdekatan dengan rumahnya.

Doktor yang merawatnya menyatakan, penyumbatan yang berlaku pada ususnya itu adalah disebabkan sisa makanan yang tidak tercerna dengan baik. Sumbatan pada usus tersebut bersifat keras dan padat hinggakan ianya tak dapat dihancurkan.

Setelah prosedur pembedahan dijalankan, doktor menjumpai gumpalan hitam besar yang dipercayai merupakan boba yang menggumpal.

Jika ianya lambat untuk ditangani, hal itu boleh menyebabkan jangkitan kuman serta kecederaan sel pada usus. Lebih parah lagi, keadaan tersebut boleh menjurus kepada kegagalan fungsi organ dalam tubuh sehingga menyebabkan kematian.

Menurut Reader’s Digest, wakil daripada Academy of Nutrition and Dietetics, Malina Malkani menyatakan bahawa, bubble tea ini merupakan sejenis minuman manis yang berkalori tinggi. Minuman yang kini mendapat sambutan hangat di pasaran itu bukanlah sumber protein yang baik.

Boba ini mempunyai kandungan kalori yang tinggi. Hal itu membuatkan ianya tidak sihat untuk diambil setiap hari. Lebih-lebih lagi jika diambil lebih dari sekali dalam sehari, sebagaimana yang terjadi pada lelaki yang berasal daripada Vietnam itu.

Boba yang ada pada bubble tea juga merupakan sumber karbohidrat tanpa kandungan mineral dan vitamin. Menurut The Daily Meal, boba ini boleh menganggu sistem pencernaan badan kerana tiada kandungan serat yang terdapat didalamnya.

Sumber: CNN Indonesia

Aqmal Ezany

I write what is right