Siakap Keli
Gambar: BBC

Lagi Kejadian Kebakaran Hutan, Lebih 2 Juta Ekor Hidupan Liar Dipercayai Mati Terbakar

Lebih 2 juta haiwan liar termasuk jaguar, puma dan llama, dipercayai mati dalam kebakaran hutan yang telah berlaku selama beberapa minggu, di Bolivia.

Api kebakaran itu memusnahkan hutan tropika Chiquitania yang terletak di timur negara itu.

“Kami telah berunding dengan pakar biologi dari Chiquitania dan telah menganggarkan bahawa lebih daripada 2.3 juta haiwan telah hilang di kebanyakan kawasan yang dilindungi,” lapor Professor Sandra Quiroga daripada Universiti Santa Cruz kepada AFP.

Kucing liar Amerika Latin, dan haiwan lain seperti puma dan jaguar, begitu juga dengan rusa, llama dan binatang kecil yang hidup di hutan tersebut seperti anteater, cicak, tapir dan tikus kesemuanya menjadi mangsa kepada kebakaran itu, menurut pakar biologi yang menyiasat skala kemusnahan.

Media tempatan menunjukkan imej bangkai haiwan yang hangus dalam hutan yang terbakar dan burung yang terbang ke zon selamat daripada kebakaran itu.

Kebakaran yang berlaku sejak Ogos itu telah memusnahkan lebih 4 juta hektar (10 juta ekar) dan telah memusnahkan sepenuhnya “hutan utama” yang berkeluasan sebanyak lebih 100 hektar kawasan simpanan Tucavaca di timur Santa Cruz.

“Hutan tersebut telah hangus sepenuhnya dan kerosakan itu tidak dapat dipulihkan. Ianya mustahil untuk kembali normal,” kata Quiroga.

Kawasan timur Santa Cruz merupakan kawasan yang paling teruk terjejas sejak kebakaran tersebut tercetus pada Mei lalu dan semakin memuncak pada hujung bulan Ogos.

Bolivia pada Ogos lalu telah menyenaraikan beberapa perancangan bagi melawan kebakaran tersebut, antaranya dengan menggunakan pesawat Supertanker Boeing 747 dan Russian Ilyushin, selain helikopter, 5,000 anggota bomba, tentera dan polis. Walau bagaimanapun, kebakaran tersebut masih lagi tidak berjaya dipadam.

Aktivis alam sekitar menyalahkan undang-undang yang digubal di bawah Presiden Evo Morales dimana undang-undang tersebut menggalakkan pembakaran hutan dan padang rumput bagi tujuan pengembangan produksi agrikultur.

Sumber: AFP

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.