Ibu bapa pasti gembira dan teruja setiap kali melihat si anak mula belajar membuat sesuatu yang baru sama ada meniarap, merangkak, berjalan mahupun berenang. Kalau boleh, nak rakam dan dokumenkan setiap detik perkembangan si anak, kan?
Oleh itu, ada ibu bapa yang mengambil inisiatif untuk melatih anak kecil berenang dari usia muda seawal beberapa bulan. Ramai yang berkongsi aksi si comel berenang dengan bantuan pelampung leher berwarna warni di media sosial.
Nampak comel, tapi sebenarnya berbahaya.
Pada 2015, sebanyak 3000 produk pelampung leher berjenama terkenal ditarik balik di Australia kerana tidak memenuhi standard keselamatan berikutan 54 laporan kes jahitan pelampung yang terbuka.
Walaupun syarikat terlibat telah memperkemas dengan pelampung yang lebih tebal, pakar masih berpendapat bahawa sebarang alat bantuan berenang yang boleh dikembungkan adalah kurang selamat.
“Tiada faedah terbukti menggunakan pelampung jenis ini, dan ada risiko penggunaannya,” kata ahli Pediatrik Nationwide Children’s Hospital, Sarah Denny.
“Alat tersebut memberi ‘rasa selamat’ yang palsu kepada ibu bapa. Bayi boleh terjerlus di celahnya dan lemas,” katanya.
Tekanan pada leher bayi
Sementara itu, Sarah memberitahu pelampung itu berpotensi memberi tekanan kepada leher bayi dan boleh menyebabkan kecederaan.
Akademi Pediatrik Amerika telah membuat kenyataan mengingatkan ibu bapa agar mengelakkan penggunaan alat bantuan renang yang bersifat boleh dikembungkan (inflatable),
“Mereka perlu mengelakkan daripada mengguna alat bantuan yang diisi angin seperti pelampung lengan yang menggantikan jaket keselamatan. Peralatan ini boleh mengembung dan tidak dicipta untuk menjaga keselamatan perenang,” kata wakil agensi berkenaan.
Bagi mengelakkan risiko ketika berenang, pakar mencadangkan agar ibu bapa sentiasa memantau anak-anak secara dekat dan menyingkirkan semua bentuk gangguan yang boleh mengalih fokus penjaga ketika melakukan aktiviti air bersama anak-anak.
Sementara itu, jurucakap Persatuan Guru Renang (STA), Kaylë Burgham berkata,
“Penggunaan pelampung ini boleh memberi ruang kepada orang dewasa untuk relaks, namun ia bukan apa yang dimahukan bayi.
“Aktiviti ini bertentangan dengan prinsip renang bayi di mana sentuhan manusia antara anda dan anak memberi peluang kepada mereka untuk meneroka air dalam keadaan selamat, relaks dan gembira,” tambahnya.
Sumber: Good House Keeping, Independent.co.uk, WebMd