Siakap Keli
Sumber: Live Dialog Bersama Rider FoodPanda

Rider FoodPanda Dakwa Syarikat Ugut ‘Buang Rider’ Sertai Mogok, Syed Saddiq Tegas Akan Ambil Tindakan

Umum mengetahui konflik yang melanda antara kebanyakan rider Food Panda dengan pihak pengurusan syarikat yang menukar sistem pembayaran upah mereka yang didakwa menyebabkan kerugian bagi pihak rider terutamanya mereka yang bekerja sepenuh masa.

Berikutan itu, para penghantar makanan melancarkan mogok di beberapa kawasan termasuk Sabah dan Johor Bahru bagi menarik perhatian pihak berwajib.

Oleh itu, Menteri Belia Dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah mengadakan dialog tergempar bersama para rider bagi mendengar pandangan mereka dan membawa isu tersebut ke peringkat Kabinet pada Rabu ini.

Dalam live perjumpaan tersebut, beberapa wakil rider telah tampil menyuarakan aduan mereka antaranya; isu pembayaran mengikut jam dan pembahagian syif.

1. Sistem bayaran tetap mengikut jam ditarik.

Bagi pekerja sepenuh masa, pembayaran mengikut jam amat penting kerana agak sukar untuk mendapatkan pesanan sehingga ada yang hanya mendapat satu pesanan dalam tempoh tiga atau empat jam.

Kenapa tak setuju?

Rider membayar untuk baju dan beg menggunakan duit sendiri sekaligus menjadi pemasaran percuma bagi jenama FoodPanda, namun sebarang permasalahan atau kos tambahan seperti tol dan minyak motosikal ketika pelanggan tersilap menghantar lokasi sehingga memerlukan rider berpatah balik adalah bawah tanggungan rider sendiri.

“Kami tiada EPF, SOCSO. Insurans pun sukar dituntut. Hours ini salah satu jaminan kami di atas jalan raya.

“Setiap minggu kami bukan perlukan duit semata untuk belanja, tapi untuk kos lain seperti maintenance motosikal dan sekiranya berlaku kemalangan. Kemalangan perkara biasa bagi kami, tapi wakil sukar untuk turun.” – wakil rider Seremban.

Order berkurang.

Disebabkan bilangan rider yang bertambah, pembahagian order sesama mereka berkurang.

“Sekarang ini di Johor Bahru ada hampir 1250 rider FoodPanda, ada yang jalan 12 jam tapi hanya dapat 8 atau 7 pesanan. Takkan nak balik dengan RM 50 sahaja?” – wakil rider JB

2. Syarikat mengugut dengan alasan kami pekerja freelancer -Rider

Selain itu, mereka turut mendakwa sukar untuk mengemukakan sebarang bantahan atas alasan mereka hanya pekerja freelance.

Menurut salah seorang rider dari Pulau Pinang, sehari sebelum mogok besar-besaran pada 30 September lalu dijalankan, pihak pengurusan syarikat tersebut didakwa telah mengadakan mesyuarat dan mengeluarkan pesanan berbaur ugutan kepada mereka.

Dakwanya, pihak syarikat mengugut untuk membatalkan ID mereka yang menyertai mogok tersebut.

Sebahagian paparan skrin mesej berkenaan turut dikongsikan mereka kepada Syed Saddiq.

Paparan skrin dari live Dialog Food Panda.

Tegas wakil rider terbabit, mereka hanya menginginkan apa yang mereka pernah terima sebelum ini dipulangkan kerana ramai antara mereka yang menjadikan pekerjaan itu sebagai sumber pendapatan sepenuh masa bagi menyara keluarga.

“Kami tak minta lebih tak minta kurang. Pulangkan hours kami, pulangkan apa yang diberi sebelum ini.”

“Tindakan perlu diambil” – Syed Saddiq

Sebagai respon terhadap aduan mereka, Syed Saddiq menegaskan akan mengambil tindakan terhadap pihak syarikat.

“Kalian dilabel freelance walhal motosikal, tol, semua kalian yang punya. Bila syarikat jana jutaan ringgit tapi tak bela kebajikan rider, itu jelas salah.

“Kena ada keseimbangan, kita tidak boleh berpihak kepada korporat besar tetapi akhirnya pekerja kecil ditindas. Itu jelas salah.

“Semua modal sendiri tapi ada masalah sedikit terus dilupakan dan diugut (bukti telah ditunjukkan), jelas bertentangan dengan undang-undang, salah dan tindakan perlu diambil,” tegas Syed Saddiq di akhir perjumpaan tersebut.

Sumber: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.