Siakap Keli
Gambar: Google

(Video)Kaji Chant Peminat Liverpool, ”Mohamed Salah, A Gift From Allah”, Pemuda Inggeris Ini Akhirnya Peluk Islam

Seperti yang kita ketahui, Mohamed Salah atau turut dikenali dengan Mo Salah adalah salah seorang pemain bintang yang berasal daripada Mesir. Kemasukan beliau dalam skuad Liverpool telah memberi banyak impak besar pada kelab itu. Antaranya ialah dengan memenangi kejuaraan berprestij seperti Liga Juara-juara Eropah dan UEFA Supercup. Impaknya juga bukan sahaja boleh dilihat ketika di atas padang, malahan juga di luar padang. Beliau banyak menunjukkan nilai-nilai positif yang mencerminkan agama Islam.

Secara tidak langsungnya, perbuatan itu telah banyak memberi inspirasi kepada orang yang selama ini memandang Islam dengan pandangan yang negatif. Malahan, kesan daripada impak yang dibawa oleh Mo Salah ini juga telah berjaya menginspirasikan orang yang bukan Islam untuk berhijrah ke agama Islam.

Gambar: Google

Seperti yang dikongsikan oleh seorang penulis ini, dia ada menceritakan tentang bagaimana Mo Salah mengubahnya untuk memeluk Islam. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti penulisan yang dtulisnya di The Guardian seperti berikut:

Secara jujurnya, Mohamed Salah betul-betul telah memberi inspirasi kepada saya. Saya seorang penyokong Nothingham Forest dan juga pemegang tiket semusim. Saya juga kini seorang penganut ajaran agama islam.

Saya masih lagi diri saya yang dulu, bezanya ialah agama saya sahaja dan itulah yang Mohamed Salah telah tunjukkan pada saya. Jika boleh, saya ingin sangat berjumpa dengan beliau. Hanya sekadar bersalaman dengan beliau pun sudah cukup untuk saya.

Gambar: Google

Saya tidak rasa kawan-kawan saya percaya sepenuhnya bahawa saya ini seorang Muslim kerana saya tidak berubah pun, saya masih diri saya yang dulu. Saya benar-benar sedang berubah dan sedang membuang tabiat lama saya.

Lagi-lagi ketika minggu itu ialah minggu perlawanan bola sepak. Kebiasaannya saya akan mengunjungi pub, bertaruh, kemudian selepas perlawanan bola itu tamat, lazimnya saya akan kembali ke pub itu semula.

Ianya sangat sukar bagi kita semua untuk mengubah perkara yang kita sudah biasa buat, dan tabiat yang saya pernah buat itu pula merupakan sebahagian daripada budaya penyokong bola sepak di sini.

Saya malu untuk menyatakan bahawa saya pernah berpendapat bahawa agama Islam, budayanya serta penganutnya sangat-sangat kebelakang. Malah, saya pernah ada perasaan benci kepada orang Islam.

Walaupun saya mempunyai pandangan serta pendapat yang negatif terhadap orang Islam serta agama Islam, namun saya tidak pernah untuk menyuarakan semua itu terhadap orang Islam secara berhadapan. Semuanya berubah apabila saya mempelajari subjek tentang negara-negara yang terletak di Timur Tengah (Arab).

Kami telah disuruh untuk membuat karangan, dan saya mahu memastikan bahawa karangan saya itu berbeza sedikit. Saya masih ingat lagi tutor saya pernah memberitahu pada saya: “Apa kata lagu Mohamed Salah?” Saya dengar apa yang dikatanya itu dan turut merasakan bahawa idea itu agak menarik juga namun saya masih belum memutuskannya lagi ketika itu.

Lagu mengenai Mohamed Salah itu telah dicipta oleh para penyokong Liverpool. Antara liriknya adalah “If he scores another few then I’ll be Muslim too”, dan lirik tersebut telah berjaya sampai ke hati saya.

Sepanjang saya menyambung pelajaran saya ke peringkat ijazah, ini adalah kali pertama saya belajar tentang islam secara akademik.

Kehidupan di universiti telah memberikan saya peluang untuk berjumpa dengan pelajar yang datang dari Arab Saudi. Pada mulanya saya menyangkakan bahawa mereka ini adalah orang jahat yang selalu membawa pedang, akan tetapi merekalah orang yang paling baik saya pernah jumpa. Gambaran negatif saya pada negara-negara Arab ini terus hilang.

 

Mohamed Salah adalah Muslim pertama yang saya boleh kaitkan. Lihatlah cara beliau menjalani hidupnya dan cara beliau bercakap dengan orang. Baru-baru ini, beliau ada berkongsikan sebuah gambar dengan seorang penyokong Liverpool sebagai tanda menghargai usaha penyokong tersebut yang patah hidung gara-gara mengejarnya.

Saya tahu pemain bola yang lain pun mungkin akan buat perkara yang sama namun kini Salah juga patut diletakkan di dalam senarai pemain-pemain yang akan berbuat sedemikian.

Semasa di Universiti, saya ada menemu bual beberapa orang pelajar Mesir dan apabila mereka mengetahui bahawa kajian yang saya sedang lakukan itu adalah mengenai “Mohamed Salah, a gift from Allah” (salah satu lagu penyokong Liverpool) mereka terus menunjukkan minat mereka malahan mereka siap bertanyakan pada saya lagi tentang kebaikan serta sumbangan yang dilakukan oleh Mohamed Salah ini pada negara mereka.

Salah seorang pelajar Mesir itu memberitahu kepada saya bahawa, Salah telah menunjukkan ciri-ciri sebenar seorang penganut agama Islam dan apa yang dituntut dalam Islam. Pelajar itu percaya bahawa Salah membuatkan orang suka dengan agama Islam semula.

Ianya benar-benar membuatkan saya teruja. Apabila Salah menjaringkan gol, saya rasa dia menjaringkan gol itu bukan untuk dirinya, dia jaringkan gol itu untuk kepercayaannya. Apabila dia menjuarai Liga Juara-Juara Eropah, saya berkata kepada kawan saya bahawa kemenangan itu adalah untuk Islam.

Setiap daripada gol yang dijaringkan olehnya, pasti beliau akan melakukan postur sujud dan postur sujud itu juga adalah salah satu lambang Islam yang dikenali di dunia. Berapa ramai orang yang menonton Liga Perdana Inggeris setiap minggu? Secara globalnya berjuta-juta.

Gambar: The National

Salah telah menunjukkan pada saya bahawa anda boleh jadi normal dan juga seorang Muslim. Anda boleh jadi diri anda. Dia ialah seorang pemain yang sangat hebat serta dihormati dalam kalangan komuniti bola sepak.

Segala pandangan politiknya dan apa agamanya sekalipun tidak penting. Dan pada saya itulah yang bola sepak mampu buat, iaitu ketepikan segalanya tentang pandangan negatif terhadap seseorang pemain itu.

Sumber: The Guardian

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.