Siakap Keli

“Biarlah Kami Berkorban,” Tiga Bulan Kerja Tanpa Gaji, Kakitangan Utusan Luah Isi Hati

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Perkataan ‘Utusan’ telah menjadi salah satu daripada lima carian paling tinggi dalam talian, berikutan laporan penutupan syarikat akhbar itu hari ini atas masalah kewangan.

Menerusi satu perkongsian di halaman Facebook, seorang individu dipercayai salah seorang kakitangan syarikat akhbar berkenaan meluahkan isi hatinya mengenai penamatan operasi Utusan Malaysia.

TIDAK pernah terfikir yang perjalanan kerjaya aku ternoktah begini. Kehadiran aku di Universiti Kehidupan ini dirancang agar aku boleh menghabiskan tempoh pekerjaan sehinggalah ke hari persaraan, tak kisahlah 55 tahun mahupun 60 tahun.

Namun, takdir Allah menentukan segala-galanya. Pagi nanti, tiada lagi perlu hamba Allah ini menerjah kepadatan lalu lintas untuk ke Jalan Utusan. Tidak perlu lagi aku untuk saban hari memikirkan bagaimana untuk menaikkan prestasi syarikat dan membuat duit untuk menambah pendapatan syarikat yang kini sudah berusia 80 tahun sejak ia ditubuhkan di kota Singapura.

Pagi nanti, semuanya ternoktah. Amat pedih. Walaupun aku baru 18 tahun di sini, namun perit derita keseronokan perjuangannya dapat aku rasa.

Di Utusan Malaysia, di depan api di belakang kami duri. Namun kami tempuhi semuanya tanpa ada penyesalan. Keringat diperah agar dapat melihat kelangsungan akhbar Melayu ini terus berada di puncak.

Bukan semalam, bukan kelmarin, bukan tahun lepas kami sudah dalam keadaan begini. Sudah lama. Sudah lama kami mengikat perut agar dapat melihat syarikat akhbar bangsa ini meneruskan kelangsungan hidup. Biarlah… biarlah kami berkorban. Sampaikan ke tahap kami bekerja tiga bulan tanpa gaji, kami tetap bertahan.

Ketentuan Allah menetapkan segala-galanya. Tiada apa yang dapat kami lakukan lagi. Selama ini, kami hanya memperlahankan suratan yang sudah termaktub.

Aku rela. Aku pasrah dengan ketentuan Ilahi. Pasti ada yang lebih baik dijanjikan Dia. Rezeki Allah itu luas.

Jika ini terjadi 30 tahun yang lalu ketika aku baru menginjak usia belia, aku tidak pasti adakah aku mampu menerima takdir ini. Namun sekarang dengan usia menginjak 50 tahun, aku rela. Tidak gembira, namun aku lebih lega. Semua ini ada balasannya. Ada yang lebih baik menanti.

Tapi untuk kelangsungan hidup, aku tetap akan meneruskan kemahiran aku yang aku pasti Allah akan membalasnya dengan ganjaran. Pengalaman yang aku ada tak perlu aku sia-siakan dengan merintih. Aku masih boleh sebarkan kepada sesiapa sahaja yang perlukan.

Mungkin lebih mudah sebab aku tidak terikat lagi dengan syarikat. Aku lebih bebas menentukan apa yang boleh dan apa yang tidak. Mungkin harga bengkel2 aku boleh lebih rendah berbanding sebelum ini. Perancangan Allah itu sememangnya cantik. Ada yang tersirat dan tersurat untuk aku fikirkan kembali.

Mungkin juga sebab aku sering mengadu kepadaNya yang aku penat dengan rutin harian. Jadi aku diberi cuti panjang oleh Nya untuk aku muhasabah kembali diri ini.

InsyaAllah. Aku tidak akan bersara dari kemahiran yang dianugerahkan Allah selagi kudrat ada. Pada rakan-rakan, jika masih sudi berkawan, sokonglah aku. Aku masih memerlukan kalian.

Ternoktah 9 Oktober 2019, 1.05 pagi
Haji Mohammed Hazli Hassan
Gombak, Kuala Lumpur

Sumber: Mohd Hazli ‘Bobo’ Hassan

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Nur Farra