Siakap Keli

Nekad Belajar Bahasa, Sekarang Jadi ‘Orang Kuat’ Dunia Hiburan Korea-Malaysia

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Setiap orang mempunyai impian dan cita-cita yang tersendiri, ada yang berusaha menggapainya walaupun melalui pelbagai rintangan yang boleh membuat kita berputus asa.

Bukan untuk merendahkan orang yang tidak cemerlang dalam pelajaran namun anda juga boleh  berjaya walaupun tidak melalui laluan akademik seperti orang lain. Apa yang penting ialah usaha dan semangat yang kental.

Sama dengan kisah yang dikongsikan oleh Shah di Twitter, beliau telah berjaya menjadi penterjemah bagi acara atau konsert artis-artis korea seperti Blackpink, Ikon dan Winner walaupun tidak mempunyai taraf akademik yang cemerlang.

Menurut Shah, beliau lebih berminat menghabiskan masa belajar mengenai muzik, bahasa, sukan dan aplikasi photoshop serta beliau memulakan perniagaan berkaitan reka bentuk selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selama dua tahun, perniagaan tersebut tidak begitu memberangsangkan yang memperlihatkan beliau hanya mendapat keuntungan sebanyak RM24 sahaja selama satu bulan hasil daripada menjual baju yang direka oleh beliau. Dalam waktu yang sama, beliau melihat tarikan pada muzik, drama dan rancangan dari Korea yang sedang meningkat naik pada waktu itu.

Jadi saya mula berfikir untuk belajar bahasa Korea bagi memudahkan saya masuk ke dalam ‘pasaran’ mereka. Disebabkan yuran untuk masuk ke kelas bahasa Korea agak mahal, saya hanya belajar melalui buku-buku dan internet. 

Selepas beberapa bulan, saya berjaya berhubung dengan orang yang memerlukan saya menghasilkan reka bentuk untuk NGO di Korea dan dari situ saya sedar bahawa keupayaan bercakap berlainan bahasa boleh membuka peluang yang tidak pernah saya impikan. 

Saya pernah berjumpa dengan duta Korea di Malaysia dan berbincang mengenai kepentingan budaya dan bahasa antara kedua-dua negara. 

Setelah enam bulan belajar bahasa Korea, saya ingin ‘memaksa’ diri untuk pergi lebih jauh dan saya mengambil keputusan untuk berpindah ke Korea seorang diri dengan hanya menggunakan duit simpanan sebanyak RM700. Saya tinggal di ‘dorm’ yang memuatkan seramai 16 orang dan makan roti setiap hari. 

Saya berkawan dengan ramai orang Korea selama 14 bulan tinggal di sini dan kami semua saling membantu belajar budaya dan bahasa masing-masing. Disebabkan orang-orang di sana tidak menggunakan bahasa Inggeris, kepakaran bahasa Korea saya juga semakin meningkat. 

Saya juga pernah membantu syarikat penyiaran Malaysia untuk merakamkan rancangan aneka rakam yang memerlukan seseorang yang boleh bercakap bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Korea. Saya juga membantu rakyat Malaysia yang melancong di sini dan membantu produksi muzik video di Seoul.

Kawan Korea saya yang tinggal di Malaysia menghubungi saya untuk memaklumkan bahawa ada penganjur konsert Kpop sedang mencari penterjemah dan saya mencubanya walaupun tidak yakin. Konsert pertama saya melibatkan kumpulan iKON.

Saya bekerja untuk dua konsert yang melibatkan iKON dan WINNER. Kerja tersebut sangat mencabar kerana orang Korea sangat mementingkan masa, ketepatan dan kecekapan.

Disebabkan itu, saya lebih fokus untuk belajar mengenai terma-terma produksi seperti ‘patch cable’, ‘timecode’, ‘stage lift’, ‘SFX’ dalam bahasa Korea. 

Tapi konsert BLACKPINK merupakan konsert yang terbaik bagi saya kerana produksinya sangat besar.

Saya juga bekerja untuk ‘fanmeets’ dan konsert. ‘Fanmeet’ Dreamcatcher juga paling diingati kerana semua ahli kumpulan dan staff  sangat baik. 

Ramai yang bertanya apa maksud penterjemah konsert. Skop bagi kerja tersebut ialah dengan menjadi orang tengah di antara ‘team’ Korea dan ‘team’ Malaysia. Saya selalu menterjemah untuk artis dan pengarah bunyi. 

Sumber: Shah

Sofea

There's always another side to every story

Nur Farra