Siakap Keli

Bertarung Nyawa Di ICU Selepas Bersalin, Kisah Si Isteri Dakwa Ditinggal Suami Ketika Hamil 5 Bulan

Dalam pada kita semua isteri yang gembira menimang cahaya mata, jangan kita lupa ada sesetengah daripada kita yang tidak bernasib baik. Terbaru, perkongsian daripada Athif Majidah yang mendakwa seorang isteri ditinggalkan suami selepas baru sahaja melahirkan anak. Ikuti perkongsian beliau.

Dalam ramai bercerita hal ‘car seat’, ada yang bersetuju dan bermati-matian untuk sebuah car seat, ada yang tidak bersetuju dan tidak berkemampuan.

Saya ada sebuah kisah realiti juga ibrah dari beberapa malam di hospital.

Petang ke lima menjadi penghuni hospital. Saya perasan ada mata yang dari tadi asyik merenung ke arah saya. Saya buat-buat tidak nampak. Makin tajam pula renungannya. Penghuni baru katil yang berhadapan. Orang ‘luar’ dengar kata jururawat yang menempatkannya di situ. Kalau di lihat pada wajah mungkin sekitar 40 an umurnya.

Kelihatan wajahnya seperti menanggung beban berat, ada sehelai baju hospital yang beliau ambil dan letakkan di kepala sejak masuknya waktu melawat tadi, pada awalnya saya tertanya-tanya kenapa begitu gayanya.

Penghuni katil sebelahnya baru sahaja beralih masuk ke labour room. Ada air mineral sudah tinggal sesuku botol kecil di tinggalkan di meja katil itu. Tiba-tiba si dia ini bangun dalam keadaan terhencot-hencot, sambil tangan yang sebelah memegang perut. Di capainya botol air dan di tunjukkan ke arah saya, saya kira beliau mahu minta izin.

Saya menawarkan padanya air mineral yang belum saya buka. Terangguk-angguk beliau menerima, mungkin sebagai tanda ucap terima kasih.

Setelah meneguk air, beliau datang ke katil saya sambil berkata “Semua hilang, kasut hilang, ini tutup kepala tak ada, tak ada apa-apa” tutur beliau sepatah demi sepatah. Puas juga mahu faham patah perkataannya.

Kebetulan saya ada 2 tudung, saya hulurkan sehelai kepadanya. Dan sepasang selipar buat pakai ke bilik air. Apalah sangat membasahkan kasut sendiri, berbanding membiarkan orang baru bersalin berkaki ayam di lantai yang sejuk itu.

Rupanya, beliau bersalin secara pembedahan, dan hari tersebut merupakan hari ke 7 di hospital, baru keluar dari ICU kerana komplikasi selepas bersalin. Bila ditanya mana suami, katanya suami sudah lari tinggalkan ketika kandungan berumur 5 bulan. Hasbunallah..

Anak-anak di rumah ada 6 orang, yang paling besar berumur 12 tahun yang menjaga adik-adik, yang sebelum kecil berumur 1 tahun.

Datang ke hospital hasil ehsan jiran yang ambil peduli. Makan anak-anak pun semua dari jiran.

MasyaAllah. Terdiam saya, mendengar kisah derita sebegini.

Bila ditanya apakah sumber pendapatan beliau? Katanya kerjanya keluar mengutip botol-botol untuk di jual. Menyewa rumah di Tanjung bendahara.

Dan.. Sungguh terkelu bila mendengar anak yang baru di lahirkan itu sedang di usahakan mencari siapa yang mampu menyelesaikan bil-bil hospital dan akan di serahkan hak penjagaan sepenuhnya kepada orang tersebut.

Setakat kelmarin yang saya tahu bilnya sudah mencecah tujuh ribu ringgit. Macam mana saya tahu? Kerana beliau minta jasa baik saya menelefon jirannya untuk datang ke wad bagi membawa segala dokumen yang dia ada.

Banyak kisah realiti seperti ini di sekeliling kita, tetapi kita memilih untuk menyalahkan tanpa menghulurkan bantuan. Anak ramai? Siapa suruh tak merancang. Tak mampu beli car seat? Siapa suruh tak usaha. Bak katanya semua kita sahajalah yang cukup sempurna kerjanya. Orang lain serba tak kena.

Kita lupa pada susun atur ilahi. DIA beri orang miskin supaya yang kaya dapat berbakti. DIA beri orang susah supaya yang senang ada ruang berbudi.

Sumber : Facebook

Nurul Alia Ali

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)