Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Suami Isteri Kena Hadam, Perkara Ini Boleh Tinggalkan 'Luka' Dalam Rumah Tangga

Azzwin
luka
Kredit: Flow/AI

Suami Isteri Kena Hadam, Perkara Ini Boleh Tinggalkan 'Luka' Dalam Rumah Tangga

Dalam sesebuah perkahwinan, perselisihan faham dan pertengkaran bukanlah sesuatu yang asing.

Namun, apa yang sering diabaikan oleh ramai pasangan ialah kesan kata-kata yang diucapkan ketika sedang marah.

Walaupun pertengkaran mungkin berakhir dan hubungan kembali pulih seperti biasa, tidak semua luka dapat sembuh dengan mudah.

Ada kalanya, kata-kata yang dilontarkan ketika emosi memuncak akan terus terpahat dalam ingatan pasangan sehingga bertahun-tahun lamanya.

Kata-kata tinggalkan luka

Baru-baru ini, tular sebuah hantaran di media sosial mengenai kepentingan menjaga tutur kata ketika berlaku perselisihan faham antara suami dan isteri.

Menerusi hantaran yang dikongsikan oleh @shahmi_ridzuan di Threads, ramai menganggap segala-galanya kembali pulih apabila pasangan sudah berbaik selepas bergaduh.

Hakikatnya, hubungan mungkin boleh dipulihkan, namun kata-kata yang menyakitkan sering kali kekal dalam ingatan.

"Pasangan mungkin masih tinggal bersama, masih ketawa bersama, masih menjalankan tanggungjawab seperti biasa, tapi jauh di sudut hati, dia masih ingat setiap hinaan yang pernah dilemparkan," ujarnya.

Menurutnya, antara ungkapan yang sering meninggalkan kesan mendalam termasuklah kata-kata seperti "awak tak berguna", "kalau saya tak kahwin dengan awak" atau "saya menyesal kenal awak".

Walaupun ia mungkin dilafazkan ketika emosi sedang memuncak, kata-kata tersebut boleh menjadi luka yang sukar dipadamkan.

Kredit: Flow/AI

Kematangan hubungan diukur melalui rasa hormat

Tambah @shahmi_ridzuan lagi, kematangan dalam sesebuah hubungan bukan ditentukan oleh siapa yang menang ketika bertengkar.

Sebaliknya, ia diukur melalui sejauh mana rasa hormat terhadap pasangan masih dapat dikekalkan walaupun kedua-duanya sedang terluka atau kecewa.

Lelaki itu turut mengingatkan agar pasangan tidak menjadikan kelemahan, kekurangan atau rahsia yang pernah dikongsi sebagai senjata ketika bergaduh.

"Kalau betul sayang, jangan gunakan kelemahan pasangan sebagai senjata. Jangan jadikan rahsia yang dia pernah ceritakan sebagai peluru ketika marah," nasihatnya.

Memohon maaf mungkin mudah dilakukan, namun menghilangkan sepenuhnya kesan kata-kata yang menyakitkan adalah sesuatu yang sukar.

Kredit: Flow/AI

Netizen kongsi cara urus emosi

Menjengah ke ruangan komen, seorang netizen turut berkongsi tip yang diamalkannya untuk mengawal emosi sebelum berbincang dengan pasangan.

Menurutnya, dia menyimpan sebuah jurnal peribadi perkahwinan yang digunakan untuk meluahkan segala perasaan dan fikiran yang terbuku terlebih dahulu.

Pada peringkat awal, dia akan menulis perkara-perkara yang membuatkannya marah atau kecewa.

Selepas itu, dia cuba menyenaraikan perkara baik tentang pasangannya sebelum menulis kemungkinan penyelesaian terbaik bagi situasi yang dihadapi.

Katanya, kaedah tersebut membantu dirinya memahami emosi dengan lebih jelas dan menilai sesuatu masalah secara rasional sebelum berbincang dengan suami.

Hasilnya, dia dapat berbincang dengan lebih tenang dan matang dengan suami kerana emosi telah diuruskan terlebih dahulu.

"Ia membantu saya menzahirkan emosi dalam bentuk pemikiran yang lebih tersusun sebelum mengemukakan pandangan kepada suami.

"Dengan cara itu, saya sentiasa kelihatan sebagai seorang wanita yang tenang dan rasional ketika berbincang," komen netizen tersebut.

Sumber:Threads