Siakap Keli
Gambar Bernama.

Selangor Rangka Akta Wajibkan Pengasingan Sisa Pepejal

SHAH ALAM, 6 Nov (Bernama) – – Kerajaan Selangor akan melaksanakan akta bagi mewajibkan isi rumah di negeri ini untuk mengasingkan sisa pepejal mengikut jenis.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian, berkata buat masa ini pihaknya sedang membuat draf Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam bagi tujuan tersebut.

“Hasrat ini sudah dimaklumkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memohon rundingan berhubung perkara ini.

“Pelaksanaan ini akan menyaksikan orang ramai mengasingkan sisa pepejal mengikut jenis iaitu bahan yang boleh dikitar semula, sisa baki dan sisa pukal di tempat berasingan sementara menunggu hari kutipan yang ditetapkan,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Chua Wei Kiat (PKR-Rawang) berhubung pelaksanaan peraturan pengasingan sisa pepejal di negeri.

Mengulas lanjut, Hee berkata kesedaran dalam mengasingkan sisa pepejal dalam kalangan penduduk Selangor masih rendah walaupun pelbagai kempen kesedaran dijalankan.

“Penduduk enggan membuat pengasingan kerana mereka tidak mahu mengeluarkan kos tambahan bagi membeli plastik yang berbeza warna bagi membuat pengasingan sampah,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.