Seorang pegawai bank yang bertukar menjadi atlit marathon telah mencatatkan satu rekod dunia baharu selepas menyertai 196 pertandingan marathon yang diadakan di seluruh pelusuk dunia dalam masa hanya 22 bulan.
Nick Butter, 30, nekad berhenti daripada dunia perbankan dan memulakan ekspedisinya itu pada Januari tahun lalu selepas diinspirasikan oleh seorang rakannya yang menghidap kanser.
Sebanyak 10 buah buku passport telah habis dipakainya dan telah berlari sejauh 5,130 batu sepanjang penyertaannya yang meliputi 7 buah benua, termasuklah Gurun Sahara serta Antartika.
Secara puratanya, Nick telah berjaya menghabiskan tiga marathon di tiga buah negara pada setiap minggu sepanjang 96 minggu masa yang diambil.
Ini bermakna, dia telah membakar kira-kira 1.5 juta kalori dalam 5.1 juta langkah ketika 675 hari pengembaraannya itu.
Dan dalam proses pengembaraanya yang melalui sehingga 120 visa itu, selain pernah dilanggar oleh kereta, digigit oleh anjing, patah tulang siku, dia juga turut pernah ditembak.
Dia telah berjaya menghabiskan acara terakhirnya itu di Authentic Marathon yang berlangsung di Athens, Greece semalam dan berharap dapat mengumpulkan dana sebanyak 250,000 Pound Sterling untuk disalurkan ke Persatuan Kanser Prostat UK.
Nick yang berasal dari Dorset, England telah menyifatkan pengembaraannya ini sebagai ‘pengalaman yang paling luar biasa’ kerana dia telah ‘menyaksikan perkara-perkara yang tidak dapat dibayangkan langsung’.
Dia mengaku bahawa walaupun dia berasa agak takut dengan keputusan yang diambil dalam meninggalkan kariernya, namun dia mendedahkan bahawa segala apa yang disaksikannya hari ini telah berjaya ‘membuka matanya’.
Semasa pengembaraannya itu, dia pernah tinggal di lapangan terbang dan beberapa hotel di seluruh dunia.
Nick telah mempunyai hampir 2000 kenalan baru dari seluruh dunia dan mendakwa bahawa perkara tersebut adalah salah satu bahagian yang terbaik sepanjang pengembaraannya itu.
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=dKqPRYGNI0g]
Sumber: Daily Mail