Siakap Keli

Amal Diet Rendah Karbo Berisiko Alami Kematian Pramatang – Kajian

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Tubuh badan yang ideal sememangnya menjadi idaman setiap orang, ada yang berusaha untuk mendapatkannya dan ada yang terhenti di ‘tengah jalan’.

Pengamalan diet yang sihat sangat disarankan bagi menurunkan berat badan disamping bagus untuk menjaga kesihatan dan mengelak daripada sebarang penyakit.

Kredit Foto: Sains Kompas

Namun, perlu diingatkan bahawa tidak semua diet baik untuk tubuh kita. Baru-baru ini seorang pakar diet, Jazeera Julaili melalui ciapannya di Twitter mengingatkan orang ramai bahawa diet atkins tidak disaran untuk diamalkan.

Sebagai pakar diet, saya nasihatkan anda semua hanya mengamalkan ‘suku-suku separuh’, ramai pesakit yang menderita kegagalan buah pinggang kerana mengamalkan diet ‘atkins’.

Ditanya mengapa diet tersebut boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang, Jazeera menjelaskan bahawa buah pinggang kita akan bekerja dengan lebih kuat untuk menapis protein dan lemak. Air sememangnya ada namun tidak cukup menampung ‘keletihan’ penapisan di buah pinggang dan seterusnya menyebabkan ‘ketone bodies’ dan peningkatan asid urik.

Protein yang banyak di dalam tubuh juga akan menyebabkan berlakunya peningkatan pengambilan nitrogen dan peningkatan paras asid urik yang boleh menyebabkan berlakunya batu karang.

Pada tahun 2018 yang lalu, seorang doktor pakar Ginekologi dan Onkologi, Doktor Rushdan Noor menerusi kiriman di Facebook juga berkata bahawa amalan diet rendah karbohidrat boleh memberikan kesan yang tidak baik dalam jangka masa panjang.

Kredit Foto: IDN Times

Ramai yang mengamalkan diet rendah karbohidrat seperti diet Atkin’s, diet Ketogenik dan lain-lain lagi untuk menurunkan berat badan. Ada juga yang percaya diet ketogenik boleh mencegah dan merawat kanser. Satu kajian prospektif yang besar telah dilakukan ke atas beribu2 orang oleh Professor Maciej Bonach daripada Medical University of Lodz mendapati individu yang mengamalkan diet rendah karbohidrat ini mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami kematian pramatang (“premature death”). Risiko kadar kematian juga lebih tinggi ke atas penghidap sakit jantung koronari (51%), angin ahmar (50%) dan kanser (35%). Hasil kajian ini baru sahaja dibentangkan semasa Kongres ESC* 2018 pada 28hb Ogos 2018.

Satu meta-analisis yang lebih besar ke atas 7 kajian prospektif cohort melibatkan hampir 45 ribu orang peserta mendapati berlaku PENINGKATAN RISIKO KADAR KEMATIAN iaitu 15% bagi keseluruhan penyakit, 13% bagi penyakit jantung dan 8% bagi penyakit kanser oleh individu yang mengamalkan diet rendah karbohidrat.

Walaupun untuk jangkamasa pendek, diet rendah karbohidrat berkesan menurunkan berat badan, tekanan darah dan gula darah tetapi kesan jangkamasa panjang sangat membimbangkan. Ia juga mempunyai kesan negatif kepada kesihatan untuk jangkamasa pendek. Jadi pada pandangan Ahli Sains Perubatan diet rendah karbohidrat lebih baik dielakkan.

Bagi pesakit kanser, saya menasihati supaya jangan mengamalkan diet ketogenik ataupun mengamalkan pengambilan gula/karbohidrat yang terlalu rendah bersama dengan diet tinggi lemak dan protin. Tiada bukti saintifik yang mengesahkan ianya dapat membantu pesakit kanser samada mencegah ataupun merawat penyakit mereka. Kemudaratannya lebih besar, jangan terpedaya dengan pendapat pengamal rawatan alternatif ataupun petua-petua yang palsu ini. Dapatkan nasihat pakar pemakanan dan doktor yang berkelayakan jika ingin mengamalkan diet tertentu.

Sumber: Jazeera Julaili, Rushdan Noor

Sofea

There's always another side to every story

Nur Farra