ALOR SETAR, 15 Nov – Seorang peniaga burger cedera ditikam di bahagian dada oleh seorang lelaki yang tidak dikenalinya di Jalan Tunku Asaad di Kulim, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kulim Supt Mohd Yusuf Shaari berkata dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, mangsa yang berusia 32 tahun sedang berniaga di hadapan kedai serbaneka sebelum suspek berusia 34 tahun datang ke gerainya.
Suspek cuba mengambil wang tunai di dalam bekas di atas meja gerai berkenaan dan mangsa bertindak menghalang suspek. Tindakan itu menyebabkan suspek mengambil sebilah pisau pemotong sayur di atas meja sebelum menikam mangsa di bahagian tengah dada.
“Orang awam yang berada di tempat kejadian berjaya menahan suspek sebelum menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk menerima rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
“Suspek yang mempunyai satu rekod jenayah lampau dipercayai mempunyai masalah mental. Kes disiasat mengikut Seksyen 394/397 Kanun Keseksaan,” katanya.