Siakap Keli

Pakar Buat Kajian Habit Korek Telinga Perlu Dihentikan, Elak Risiko Masa Jangka Panjang

Ramai yang menjadikan habit mengorek telinga sebagai aktiviti wajib yang harus dilakukan pada setiap hari terutamanya pada waktu pagi.

Lagi dalam dikorek, lagi sedap nikmat korekan tersebut. Dalam melayan nikmat korekan telinga tersebut, adakah anda tahu bahawa tabiat mengorek telinga dengan tujuan untuk membersihkan tahi telinga sebenarnya adalah satu tabiat yang berisiko?

‘Tahi telinga’ yang bukan tahi

Pakar telah menyatakan, anda sebenarnya tidak boleh mengorek telinga anda dengan apa jua jenis pengorek sekalipun. Tahi telinga yang anda ingin singkirkan tersebut sebenarnya adalah sejenis bahan berlilin yang dipanggil sebagai cerumen. Ia bukanlah tahi telinga seperti yang anda sangkakan, sebaliknya ia mempunyai fungsi dalam melindungi telinga anda. Earwax tersebut mempunyai peranan sebagai perangkap habuk dan kotoran supaya kotoran tersebut tidak memasuki lubang telinga anda dengan lebih dalam.

Selain itu, earwax tersebut juga berfungsi melindungi telinga anda daripada sebarang jangkitan dan juga mempunyai ciri antibakteria.

Tahi telinga keluar secara semula jadi

Anda tidak perlu bersusah payah untuk membuang tahi telinga anda kerana tubuh anda mempunyai mekanisme semula jadinya untuk mengeluarkan earwax yang sudah lama daripada lubang telinga. Kunyahan mulut, pergerakan rahang mulut dan pertumbuhan kulit dalam telinga akan menolak keluar earwax secara semula jadi. Jika anda menggunakan putik kapas untuk mengeluarkannya, ia sebenarnya hanya akan menolak earwax tersebut lebih dalam. Putik kapas juga akan membuatkan kulit telinga atau gegendang telinga anda menjadi lebih sensitif.

Bagaimana jika tahi telinga berkumpul di dalam lubang telinga?

Sebenarnya, kes tahi telinga berkumpul ini adalah jarang berlaku. Menurut American Academy of Otolaryngology – Head and Neck Surgery, hanya 1 daripada setiap 10 orang kanak atau 1 daripada 20 orang dewasa mempunyai masalah sebegini. Antara tanda terdapatnya pengumpulan earwax dalam telinga termasuklah:

  • Sakit atau gatal-gatal
  • Rasa lubang telinga seperti penuh
  • Rasa berdering di dalam telinga
  • Kehilangan pendengaran
  • Tahi telinga berbau

Jika anda mempunyai simptom atau tanda-tanda seperti berikut, sila berjumpa doktor dengan kadar yang segera.

Tuntasnya, tabiat mengorek telinga adalah satu tabiat yang perlu dihentikan dengan segera. Jika tidak, kami risau anda akan mengalami komplikasi yang lebih serius pada masa hadapan. Jika berlaku sesuatu terhadap gegendang telinga anda akibat daripada mengorek telinga, anda berpotensi akan mengalami kehilangan pendengaran. Tahi telinga yang anda kenali bukanlah sebenarnya sisa yang patut anda buang. Biarkan sahaja ia di dalam lubang telinga anda. Betulkan yang biasa, biasakan yang betul.

Sumber: Hello Doktor

Zetty Amelia