Siakap Keli
Gambar: FAM

Prestasi Belum Memuaskan – Safawi

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) — Biarpun menerima pujian melambung selepas menjaringkan dua gol cantik menerusi kaki kiri ketika Malaysia menewaskan Indonesia 2-0 malam tadi, Muhammad Safawi Rasid masih kurang berpuas hati dengan prestasinya.

Penyerang berusia 22 tahun itu menjadi watak penting dalam membantu skuad Harimau Malaya membenam musuhnya tradisinya, Indonesia dalam aksi Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menyempurnakan sepakan percuma pada minit ke-30 sebelum menggandakan jaringan menerusi rembatan jarak dekat pada minit ke-70, yang menghidupkan kembali peluang Malaysia dalam kempen kelayakan itu.

Namun, pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu berkata banyak yang perlu diperbaikinya menjelang aksi seterusnya dalam kempen itu menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 26 Mac tahun depan.

“Alhamdulillah kita dapat mencatat dua kemenangan berturut-turut. Keputusan ini sangat penting untuk meningkatkan keyakinan semasa berdepan UAE di tempat lawan.

“Secara peribadi, saya tak puas dengan apa saya buat, jadi perlu memperbaiki lagi dari hari ke hari. Kita sebagai pasukan perlu kekal komited dan bekerja keras untuk meningkatkan kecergasan pada tahun hadapan kerana ada dua perlawanan di tempat lawan dan satu di gelanggang sendiri,” katanya selepas perlawanan itu.

Rakan sepasukan, Mohamed Syamer Kutty Abba turut senada dengannya apabila mahu meningkatkan lagi prestasinya selepas menerima pujian penyokong dalam aksi menentang Thailand pada Khamis lepas dan Indonesia malam tadi.

“Terima kasih kepada ketua jurulatih Tan Cheng Hoe kerana beri kepercayaan kepada saya. Tetapi masih banyak ruang untuk penambahbaikan, jalan masih panjang…Saya kena melihat perlawanan demi perlawanan secara serius untuk perbaiki dari setiap aspek.

“Insya-Allah kita boleh (layak ke Piala Asia 2023), kita ada tiga perlawanan lagi, kena dapatkan mata maksimum dan kena dream big to be the best,” katanya.

Selepas lima perlawanan, Malaysia kini berada di tempat kedua Kumpulan G dengan sembilan mata di belakang Vietnam (11 mata), manakala Thailand berada di tempat ketiga dengan lapan mata, diikuti UAE (6 mata selepas empat perlawanan) dan Indonesia yang gagal meraih sebarang mata dalam lima aksi setakat ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengucapkan tahniah kepada skuad Harimau Malaya dan barisan kejurulatihannya atas kejayaan malam tadi yang dianggap sebagai hadiah kepada rakyat Malaysia sebelum penutup musim 2019.

Hamidin yang mengadakan pertemuan ringkas dengan Presiden Persatuan Bola Seluruh Indonesia (PSSI) yang baru dilantik, Jeneral Polis Mochammad Iriawan pada malam tadi, turut membincangkan kemajuan bola sepak antara kedua-dua negara.

“Kedua-dua negara mempunyai sejarah cukup lama dalam bola sepak sekali gus menjadikan perseteruan di atas padang cukup unik. Kita harapkan Harimau Malaya dan Sang Garuda akan terus bersaing secara sihat demi kecemerlangan di peringkat antarabangsa,” katanya menerusi catatan di laman Facebook rasmi FAM.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Tambah komen

Dari Wiser.my

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.