Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Pelajar Autisme Catat Keputusan Cemerlang PASR

Kota Bharu : Walaupun berstatus orang kurang upaya (OKU) autisme, namun ia tidak menghalang Haris Mustafa Abdul Karim memperoleh keputusan cemerlang dalam Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR).

Haris Mustafa murid Program Pendidikan Khas Integrasi Sekolah Kebangsaan (SK) Datu’ Hashim muncul seorang daripada tiga murid yang mendapat keputusan Kompeten Terpuji dalam tujuh subjek PASR.

Haris anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia tidak pernah menyangka akan mendapat keputusan cemerlang seperti murid normal yang lain walaupun dirinya jauh ketinggalan.

”Bagi memperoleh kejayaan ini saya perlu mengulang kaji pelajaran seperti murid lain memandangkan saya dan rakan-rakan perlu membentangkan subjek di hadapan guru selain melakukan praktikal seperti jualan dan kerja kursus di sekolah,” katanya ketika ditemui di SK Datu’ Hashim di Pengkalan Chepa di sini hari ini.

”Walaupun autisme namun ia tidak menjadi alasan dan penghalang bagi saya untuk berjaya dan mencapai kecemerlangan dalam pelajaran,” katanya yang juga bercita-cita untuk menjadi cef.

Bapanya Abdul Karim Mohd Zain, 42, berkata tanpa dorongan dan sokongan pihak sekolah terutama pengetua dan guru-guru sudah pasti anaknya tidak meraih kejayaan itu.

”Saya benar-benar berterima kasih kepada sekolah, pengetua dan guru-guru terutamanya bagi Program Pendidikan Khas yang banyak memberi sokongan dan mengajar anak saya dalam pelajaran.

”Dahulu, ketika berusia enam tahun Haris baru pandai bercakap namun kini saya lihat sudah banyak peningkatan dan perkembangan termasuk mampu bertutur dalam Bahasa Inggeris dan yang paling penting kini dia sudah mampu untuk berdikari,” katanya.

Haris yang menduduki PASR mencapai keputusan Kompeten Terpuji dalam subjek Kemahiran Literasi (Bahasa Melayu), Kemahiran Hidup (Masakan), Kemahiran Numerasi (Matematik), Kemahiran Literasi (Bahasa Inggeris), Kemahiran Asas Sains, Nilai Murni (Interpersonal) dan Nilai Murni (Intrapersonal).

Sementara itu, Guru Besar SK Datu’ Hashim Hamidah Che Abdul Hamid yang turut hadir menzahirkan ucapan tahniah kepada murid Program Pendidikan Khas Integrasi sekolahnya yang memperoleh keputusan cemerlang menerusi PSAR.

”Walaupun murid-murid ini tidak sama seperti murid di arus perdana, namun mereka sentiasa proaktif ketika waktu pembelajaran dan mampu menghasilkan kerja kursus dan melakukan praktikal dengan baik,” katanya.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Tambah komen

Dari Wiser.my

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.