Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Lelaki Dikhuatiri Hilang Selepas Jumpa Rakan

Kemaman : Seorang lelaki dikhuatiri hilang selepas keluar dari rumahnya di Bandar Permaisuri, Setiu kira-kira pukul 9.30 malam, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Hanyan Ramlan berkata mangsa, Zulkifli Mohd Hussin, 59, telah pergi ke Kerteh untuk berjumpa rakannya dengan menaiki kereta jenis Nissan Grand Lavina berwarna putih.

Katanya laporan tentang kehilangan mangsa telah dibuat oleh anaknya, Nor Saidah Zulkifli, 28, di Balai Polis Penarik, petang semalam.

”Pada Jumaat lepas Nor Saidah telah menghubungi bapanya dan mangsa memaklumkan akan pulang ke rumah selepas kerjanya selesai, bagaimanapun selepas lama menunggu, mangsa masih belum pulang hingga keesokkan harinya.

”Usaha menghubungi mangsa oleh ahli keluarganya gagal dan beliau tidak dapat dikesan sehingga hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Hanyan siasatan awal mendapati mangsa pernah singgah di sebuah pondok di Jalan Kampung Batu Putih ke Ketengah Jaya untuk berjumpa dengan seorang lelaki pada hari Jumaat kira-kira pukul 11.30 malam.

”Saksi iaitu seorang lelaki berusia 69 tahun memaklumkan bahawa mangsa singgah untuk menumpang mandi di pondoknya, tetapi perlu mengambil kain pelikat di keretanya yang diletakkan di tepi jalan terlebih dahulu. 

”Selepas mangsa beredar ke kereta, saksi mendengar bunyi salakan anjing yang kuat sebelum menjenguk dan mendapati terdapat sebuah kereta lain berada berdekatan kereta mangsa,” katanya.

Hanyan berkata, saksi tersebut juga berasa hairan kerana mangsa sempat berpesan supaya beliau merahsiakan kehadirannya di pondok berkenaan sebelum bertindak melarikan diri ke arah hutan di belakang pondok tersebut.

”Pencarian mangsa sedang dijalankan oleh 32 anggota keselamatan dan orang awam di kawasan hutan berkenaan. Polis turut menggunakan bantuan seekor anjing pengesan untuk menjejaki mangsa dan setakat ini telah menemui telefon bimbit milik mangsa yang disahkan oleh Nor Saidah,” katanya.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.