Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Jika Anggota Badan Melecur, Jangan Guna Bahan Makanan

Kota Bharu : Masih ramai dalam kalangan orang awam yang melakukan tindakan pertama (first aid) menggunakan bahan makanan, seperti meletakkan madu, gamat, ubat gigi, mentega, kicap dan telur bagi merawat kecederaan semasa melecur atau tercedera terkena api atau renjatan elektrik.

Pakar Bedah Plastik dan Koordinator Unit Rawatan Kebakaran (URK) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian Dr Siti Fatimah Noor Mat Johar berkata, tindakan tersebut adalah salah, kerana bahan berkenaan tidak bermanfaat malah boleh menyebabkan jangkitan kuman.

“Cara rawatan ini perlu dihentikan segera, memandangkan stereotaip dalam kalangan awam menggunakan bahan makanan masih berterusan, sedangkan ada teknik yang mudah yang boleh diikuti, bagi mengelak risiko lebih tinggi.

“Pertolongan pertama mengenai teknik yang betul perlu dilakukan orang awam apabila terdapat kecederaan akibat terkena air panas atau api ialah, menghentikan sumber api, menjauhkan diri daripada api dan mengalirkan air paip ke bahagian anggota badan yang cedera selama 20 minit atau lebih, bagi mengelak kesakitan serta keradangan,” katanya kepada sumber di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada program Kempen Kesedaran Kebakaran anjuran HUSM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan, yang turut dihadiri Ketua Cawangan Kesedaran Awam, Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM Kelantan Abd Latif Mat Noor.

Dr Siti Fatimah Noor berkata selepas air dialirkan pada bahagian melecur, masyarakat disyorkan meletakkan plastik pembungkus di bahagian luka atau cedera, sebelum berjumpa doktor.

“Kebakaran teruk biasanya melibatkan kemalangan di rumah, kebakaran kereta, renjatan elektrik dan asid, yang menyebabkan kecederaan parah dan pesakit perlu mendapatkan rawatan intensif lebih tiga atau empat bulan.

”Berdasarkan data bermula Januari hingga Disember 2018, HUSM menerima 59 kes kecederaan parah dan perlu dirawat, iaitu bahagian melecur perlu dicuci selepas pembedahan, manakala 814 kes melibatkan pesakit luar, iaitu mereka mengalami kecederaan tidak parah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya kini meningkatkan kesedaran, dengan menggunakan kaedah audiovisual dan kaedah digital, bagi menarik perhatian orang ramai supaya melihat video berdurasi satu minit.

“Kami juga mengadakan kempen kesedaran dengan memberi maklumat kebakaran dan teknik rawatan menerusi bentuk e-Flyers, yang dihantar melalui emel kepada pengunjung, selain mengadan kuiz putar roda dan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak,” katanya.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.