Siakap Keli

“Jiwa, Fikiran Dan Hidupku Dirampas”, Pelajar Kejuruteraan Terjun Dari Menara Setinggi 187 Meter Di Kaherah

Kaherah, Mesir – Seorang pelajar jurusan kejuruteraan di Universiti Helwan dilaporkan terjun dari puncak menara Kaherah hujung minggu lalu.

Nader Mohamed, 20, didakwa mempunyai krisis psikologi dan pernah memberitahu rakannya niat untuk membunuh diri.

Video yang tersebar di internet menunjukkan pemuda berkenaan memanjat tembok di tingkat 187 menara berkenaan sebelum terjun. Seorang lelaki dilihat cuba menghalang namun tidak sempat menarik mangsa.

Menurut Middle East Monitor memetik perkongsian Nader di Twitter, dia mengambil keputusan untuk membunuh diri setelah lima tahun belajar dan menganggap universiti merampas jiwa, hidup dan fikirannya.

Pada 2015, pengunjung dilarang melawati menara setinggi 187 m itu untuk mengurangkan kes bunuh diri yang berlaku di sana.

Penyakit mental dan stigma di Mesir

Menurut Koordinasi Mesir untuk Hak dan Kebebasan, lebih 150 orang individu berusia 25 hingga 30 tahun telah membunuh diri sejak lapan bulan lalu, antaranya dengan cara terjun di hadapan keretapi.

Pihak berkuasa menerima kritikan setelah jurucakap pengurusan keretapi, Ahmed Abdul Hady berkata.

“Landasan keretapi bukan destinasi bunuh diri.. Stesen bukan tempat untuk orang yang terganggu psikologi kerana mereka mengganggu hidup jutaan rakyat.”

Penjagaan kesihatan mental di Mesir masih berada pada tahap yang rendah tanpa dana, tenaga profesional dan stigma masyarakat yang menghalang pesakit mendapatkan bantuan.

Kos sara hidup, tekanan jiwa

Kes bunuh diri di Mesir meningkat mendadak sejak dua tahun lalu berikutan kos sara hidup dan kadar pengangguran yang meninggi.

Ogos lalu, Pusat Penyelidikan Jenayah dan Sosial Kebangsaan Mesir mendapati 25 peratus rakyat Mesir mengalami masalah mental berikutan kadar kemiskinan yang tinggi hingga menekan 60 peratus daripada jumlah pesakit ini berfikir untuk bunuh diri.

Pada Julai, agensi pengauditan Mesir melaporkan kadar kemiskinan negara itu mencecah 32.5 peratus pada tahun 2017 hingga 2018 setelah Bank Dunia mengeluarkan laporan menyatakan 60 peratus rakyat Mesir miskin atau vulnerable.

Sementara itu, syarat pinjaman Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) 2016 telah mendorong kerajaan itu melaksanakan penjimatan ketat sehingga menyebabkan peningkatan harga minyak dan elektrik yang tidak seiring dengan peningkatan gaji rakyatnya.

Jika anda terfikir untuk bunuh diri, hubungi talian Lifeline Association di (063) 92850039 atau hotline Befriender seperti di bawah,

  • Melaka – (06) 284 2500
  • Penang – (04) 281 5161 / (04) 281 1108
  • Kuala Lumpur – (03) 7956 8144 / (03) 7956 8145
  • Ipoh – (05) 547 7933 / (05) 547 7599
  • Seremban – 06 7653588 / 06 7653589

Semoga segala urusan anda dipermudah.

Sumber: Middle East Monitor

Amira

Love yourself.