Siakap Keli

Tarikh Permohonan Air Percuma Ditutup 31 Disember 2019, Warga Selangor Yang Layak Diminta Segera Buat Permohonan

Kerajaan negeri Selangor melalui Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) telah melancarkan Skim Air Darul Ehsan yang bakal memberi manfaat kepada seluruh penduduk negeri Selangor yang layak.

Program Air Percuma yang telah dilaksanakan bermula April 2008 telah dijenamakan kepada Skim Air Darul Ehsan yang bertujuan untuk mengagihkan bekalan air terawat kepada kumpulan sasar di negeri berkenaan bermula 1 Mac 2020.

Setiap penduduk negeri Selangor yang ingin mendapatkan manfaat daripada skim ini perlu membuat permohonan secara atas talian bermula 30 September sehingga 31 Disember 2019.

Pemohon mestilah warganegara Malaysia yang menetap di Selangor, dan mempunyai pendapatan isi rumah bulanan di bawah RM 4,000 (suami dan isteri, tiada pasangan atau bujang).

Manakala premis kediaman pula mestilah terdiri daripada pemegang akaun meter individu dan meter pukal bagi pangsapuri kos rendah. Bagi pangsapuri kos rendah yang menerima bekalan air melalui meter pukal, mereka hendaklah mendapatkan pengesahan Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC).

Setiap pemohon hanya layak untuk membuat permohonan bagi satu akaun/premis sahaja.

Air percuma 20 meter padu yang sedang dinikmati pada waktu ini akan berakhir pada 29 Februari 2020. Mereka hendaklah membuat permohonan baharu di bawah Skim Air Darul Ehsan sebelum 31 Disember 2019 untuk terus menikmati bekalan air percuma bermula 1 Mac 2020 sekiranya didapati layak.

Permohonan Skim Air Darul Ehsan BOLEH dibuat secara atas talian melalui www.ssipr.selangor.gov.my atau melalui Borang Permohonan yang BOLEH dimuat turun di www.airselangor.com atau BOLEH diperolehi di Kaunter Perkhidmatan Pejabat Wilayah Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd (10 pejabat) serta di Pusat Khidmat Masyarakat.

Borang Permohonan yang lengkap diisi BOLEH dihantar melalui email kepada [email protected] atau dihantar ke Kaunter Perkhidmatan Pejabat Wilayah Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd (10 pejabat).

Berikut adalah maklumat-maklumat tambahan mengenai Skim Air Darul Ehsan.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.