Siakap Keli

Pencemaran Bau: Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang Dan Putrajaya Mula Alami Gangguan Bekalan Air

Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih masih belum boleh beroperasi berikutan paras pencemaran bau di Sungai Semenyih berada pada paras tiga ton setakat 6.30 pagi tadi.

LRA itu  terpaksa dihenti tugas sepenuhnya bermula Jumaat (20 Dis) ekoran insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih.

Portal Air Selangor turut mengeluarkan status terkini setakat 7 malam semalam berhubung insiden ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (“Air Selangor”) ingin merujuk hebahan terdahulu berhubung insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih yang mengakibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa dihentitugas.

Berdasarkan kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sebelum ini, pencemaran bau telah dikenalpasti berpunca daripada  Loji Rawatan Kumbahan (LRK) Indah Water Konsortium (IWK) Bukit Mahkota. Tindakan untuk mengatasi pencemaran bau ini sedang giat dijalankan oleh pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar dan Air Selangor dengan kaedah pendosan activated carbon (AC) seperti yang dilaporkan oleh pihak LUAS.

Sehingga pencemaran bau ini dapat diatasi sepenuhnya, pihak kami masih belum dapat memastikan jangkamasa Loji ini boleh beroperasi semula dan bila jangkaan bekalan air dapat disalurkan semula.

Pada masa ini, beberapa kawasan di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang serta sebahagian kawasan Putrajaya telah mula mengalami gangguan bekalan air.

Bantuan bekalan air kecemasan sedang giat digerakkan kepada pengguna-pengguna terlibat  menerusi lori-lori tangki dengan keutamaan diberikan kepada pengguna dan premis kritikal serta kecemasan termasuk hospital. Justeru, bagi mengelakkan kelewatan penerimaan bekalan air melalui lori tangki air,  pengguna dinasihatkan agar mendapatkan bantuan air kecemasan di Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang akan dibuka pada jam 6:00 petang hari ini dan pili-pili awam yang telah disediakan. Senarai lokasi Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan pili-pili awam adalah seperti di lampiran.

Pihak Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari masa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.

Sila rujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor, facebook dan instagram Air Selangor, atau laman sesawang kami www.airselangor.com untuk maklumat yang akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Kredit: Air Selangor

Nur Farra