Siakap Keli
Gambar: Astro Awani

Lelaki Beristeri Dua Didakwa Cabul Anak Tiri Sendiri Berusia 13 Tahun

Seorang pemandu e-hailing telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Gajah pada hari ini kerana didakwa merogol dan melakukan serangan seksual terhadap anak tirinya selama hampir dua tahun.

Semasa pertuduhan terhadapnya dibacakan, tertuduh yang berusia 42 tahun itu walau bagaimanapun telah dilaporkan mengaku tidak bersalah.

Difahamkan, tertuduh didakwa melakukan serangan seksual fizikal terhadap anak tirinya yang berusia 13 tahun dengan meraba payudara serta kemaluan mangsa. Atas tuduhan itu, tertuduh bakal dikenakan tindakan di bawah Seksyen 12 (A) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jika didapati bersalah, tertuduh yang mempunyai dua isteri itu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Selain daripada itu, tertuduh juga turut didakwa dengan dua lagi pertuduhan iaitu melakukan persetubuhan tanpa kerelaan pada mangsa yang sama.

Mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan, tertuduh bakal berhadapan dengan hukuman penjara antara lapan dan 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan jika didapati bersalah.

Kesemua kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Melekek, Alor Gajah sekitar Februari 2017 dan 8 November lalu.

Peguam tertuduh dilaporkan membuat rayuan kepada pihak mahkamah untuk membenarkan ikat jamin dilakukan ke atas tertuduh dengan alasan perlu menguruskan isteri pertama serta enam lagi anak yang menetap di Shah Alam, Selangor.

Hakim mahkamah, Ahmad Sazali walau bagaimanapun telah dilaporkan menolak rayuan yang dikemukakan peguam tertuduh itu dan telah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 29 Januari depan.

Baca: Nak Beli Cash Tak Mampu, Huawei Wujudkan Skim Bayaran Ansuran 0% Interest Untuk Pelajar Beli Gadgetnya

Sumber: Astro Awani

Aqmal Ezany

I write what is right