Siakap Keli

Fenomena Penumbra: Solat Sunat Gerhana Bulan Tidak Diharuskan – Mufti N.Sembilan

Bermula awal tengah malam hingga menjelang Subuh hari Sabtu ini, 11 Januari 2020, fenomena Gerhana Bulan Penumbra akan berlaku.

Gerhana Bulan berlaku apabila jasad Bulan memasuki kawasan bayangan-bayangan bumi yang berada di angkasa lepas.

Ia hanya berlaku ketika Bulan berada di dalam Fasa Purnama (Bulan Penuh) sahaja. Ketika ini, Matahari, Bumi dan Bulan akan berada di dalam satu garisan lurus yang sempurna.

Kedudukan Bulan, Bumi dan Matahari yang ‘hampir’ sejajar akan menyebabkan Bulan memasuki kawasan bayang-bayang Bumi. Namun kali ini Bulan hanya akan masuk di dalam kawasan bayang-bayang Bumi yang tidak gelap, yang dikenali sebagai penumbra.

Bahagian umbra ialah bahagian paling dalam dan paling gelap. Di sini jampir keseluruhan cahaya Matahari akan terlindung (kecuali sebahagian kecil cahaya yang akan terlepas akibat biasan atmosfera Bumi).

Bahagian penumbra pula ialah bahagian bayang-bayang di sebelah luar dan kurang gelap.

Fasa Gerhana Bulan Penumbra ini adalah seperti berikut:

Gerhana Bulan Penumbra bermula – 1:07 am waktu Malaysia
Kemuncak Gerhana Bulan Penumbra – 3:09 am waktu Malaysia
Gerhana Bulan Penumbra tamat – 5:12 am waktu Malaysia
Keseluruhan Asia, Eropah, Afrika dan Australia akan dapat menyaksikan fenomena ini.

Secara teknikalnya, 89% diameter Bulan akan berada di dalam kawasan bayang-bayang penumbra.

Perlukah Solat Sunat Gerhana?

Menurut beberapa pegawai Falak negeri-negeri (Ustaz Haji Hardi Bin Mohamad Sadali, Ketua Bahagian Falak Negeri Selangor dan Ustaz Mohd Faizal Bin Jani, Ketua Pegawai Bahagian Falak Jabatan Mufti Negeri Perak) mengenai persoalan ini ialah solat gerhana tidak disyariatkan untuk fenomena kali ini.

Ini adalah kerana kesan gelap tidak mudah dilihat dengan mata kasar, dan para ulama telah meletakkan syarat kesan gelap ini harus jelas dan mudah dilihat. Oleh itu, disebabkan Bulan masih berada di dalam kawasan bayang-bayang penumbra, maka kesan sempadan gelap umbra itu tidak kelihatan.

Jika kita lihat nanti, warna putih Bulan yang akan kelihatan sedikit ‘suram’ di salah satu sisi Bulan itu nanti mudah akan kita terkeliru dengan benda lain, seperti lapisan awan. Berbeza dengan ketika Bulan memasuki bayang-bayang umbra, kesan gelapnya amat ketara malah warnanya pun kelihatan hitam pekat dan kemerahan.

Oleh hal yang demikian, Solat Gerhana Bulan tidak diharuskan dilakukan.

 

Sumber: Bahagian Falak Dan Sumber Maklumat (Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan)

Zetty Amelia

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)