WASHINGTON, 15 Jan – Presiden Donald Trump pada Selasa menggesa Apple membantu pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) mengakses data yang terdapat dalam dua telefon pintar iPhone, digunakan juruterbang Saudi yang terbabit dalam serangan di pangkalan tentera laut di Pensacola, Florida bulan lalu, lapor agensi berita Anadolu.
“Selama ini kami telah membantu Apple dalam PERDAGANGAN dan banyak isu lain, namun mereka masih enggan membantu kami mengakses data yang terdapat dalam telefon pintar digunakan oleh pembunuh, pengedar dadah dan jenayah lain. Mereka perlu membantu negara SEKARANG untuk mewujudkan semula negara “AMERIKA YANG HEBAT,” kata Trump di Twitter.
We are helping Apple all of the time on TRADE and so many other issues, and yet they refuse to unlock phones used by killers, drug dealers and other violent criminal elements. They will have to step up to the plate and help our great Country, NOW! MAKE AMERICA GREAT AGAIN.
— Donald J. Trump (@realDonaldTrump) January 14, 2020
Ciapan beliau menyusul sehari selepas Apple dilaporkan menolak permintaan Peguam Negara Bill Barr.
Pada 6 Dis, Mohammed Alshamrani, seorang leftenan II Angkatan Udara Diraja Saudi yang juga merupakan pelajar penerbangan di Naval Aviation Schools Command, menembak dan membunuh tiga anggota perkhidmatan Amerika selain mencederakan lapan yang lain sebelum suspek ditembak mati oleh pihak berkuasa.
“Setakat ini, Apple tidak membantu kami dalam siasatan tersebut,” kata Barr pada sidang akhbar.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu menolak penciriannya dan mengatakan pihaknya telah memberi maklum balas yang sepatutnya sejak serangan tersebut.