Siakap Keli
Kredit: Google

Lelaki Di Bawah Pengaruh Dadah Langgar Empat Kenderaan Direman

PORT DICKSON, 20 Jan (Bernama) — Seorang lelaki di bawah pengaruh dadah yang membuat kekacauan di sebuah kedai dan melanggar empat kenderaan termasuk sebuah motosikal semalam, ditahan reman selama empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata sebelum kejadian itu, berlaku pertengkaran antara suspek yang berumur 26 tahun dengan rakan-rakannya di pantai Batu.

“Suspek telah beredar dari lokasi setelah berlaku pertengkaran itu dan melarikan diri dengan memandu keretanya. Ketika tiba di Taman Muhibbah, kereta suspek telah melanggar sebuah motosikal jenis Honda Wave dan sebuah kereta jenis Perodua Kancil.

“Suspek juga bertindak keluar dari keretanya dan memasuki sebuah kedai runcit dan telah menyelerakkan barang-barang di kedai itu sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, apabila sampai di lampu isyarat Shell Gate, suspek telah melanggar dua lagi kenderaan jenis Perodua Kancil dan Naza Suria.

“Seterusnya suspek melarikan diri menuju ke arah lampu isyarat Kampung Paya sebelum ditahan oleh orang awam.

“Suspek telah dibawa ke Pejabat Narkotik Port Dickson bagi menjalani ujian saringan air kencing dan hasil ujian itu suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.