Kes kemalangan yang membabitkan pemandu di bawah pengaruh alkohol bukanlah suatu perkara yang asing lagi dalam Malaysia.
Terbaru, kes kemalangan maut yang berlaku di Lebuh Raya KESAS semalam telah membuatkan orang ramai tidak berpuas hati akan undang-undang yang sedia ada dalam menghukum pemandu dibawah pengaruh alkohol yang telah menyebabkan pengguna jalan raya lain maut akibat daripada kecuaian diri mereka sendiri.
Susulan daripada itu, luahan serta desakan orang ramai berkenaan dengan hal itu telah mendapat perhatian Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook.
Menurut satu perkongsian yang dimuat naik menerusi akaun Facebook rasminya, beliau menyatakan bahawa kementeriannya amat memandang serius terhadap isu kemalangan yang melibatkan kesalahan pemanduan di bawah pengaruh alkohol ini.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan takziah ke atas keluarga Allahyarham Muhammad Zulfakkar Borhan yang maut akibat dilanggar oleh sebuah kereta pacuan 4 roda di Klang semalam.
Tambahnya, pihak kementerian telah menyerahkan siasatan kepada pihak polis bagi mengheret pesalah ke muka pengadilan secepat mungkin.
Sumber: Anthony Loke Siew Fook