Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Suhakam Seru Isu Pelarian Dibincang Secara Matang

Suhakam
Suhakam

Suhakam Seru Isu Pelarian Dibincang Secara Matang

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menegaskan isu berkaitan pelarian, migrasi dan komuniti rentan perlu dibincangkan secara matang serta berasaskan fakta tanpa dipengaruhi sentimen permusuhan atau pengasingan sosial.

Dalam satu kenyataan menerusi Facebook semalam, Suhakam berkata perbincangan mengenai isu tersebut sering menimbulkan pelbagai pandangan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Menurut suruhanjaya itu, cabaran berkaitan migrasi dan perpindahan manusia bukan isu yang boleh diselesaikan melalui kebencian atau penolakan sosial semata-mata.

Sebaliknya, ia memerlukan perhatian sewajarnya kerana melibatkan aspek keselamatan negara, kawalan sempadan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara.

Suhakam menjelaskan tanggungjawab mengurus perkara tersebut terletak di bawah bidang kuasa kerajaan serta agensi berkaitan yang diamanahkan untuk melaksanakan tugas demi kepentingan negara dan rakyat.

Bagaimanapun, suruhanjaya itu menegaskan kebimbangan berkaitan keselamatan tidak seharusnya menjadi alasan untuk menyebarkan kebencian, penghinaan atau layanan yang menafikan maruah mana-mana individu atau komuniti.

“Perbezaan pandangan mengenai dasar dan pengurusan sesuatu isu perlu dibincangkan secara matang dan berasaskan fakta tanpa menjejaskan nilai kemanusiaan yang menjadi asas kepada keharmonian masyarakat,” menurut kenyataan itu.

Suhakam berkata, isu tersebut memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh menerusi dasar yang berkesan, penguatkuasaan sewajarnya serta kerjasama semua pihak.

Menurutnya, nilai kemanusiaan dan penghormatan terhadap maruah insan perlu terus dipelihara seiring usaha memastikan keselamatan serta kesejahteraan negara.

Bersempena sambutan Maal Hijrah 1448H, Suhakam turut menyeru rakyat Malaysia menghayati pengajaran daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW yang melambangkan ketabahan, pencarian perlindungan serta pembinaan masyarakat berasaskan keadilan dan keamanan.

“Peristiwa hijrah mengingatkan kita bahawa sepanjang sejarah manusia, terdapat golongan yang terpaksa meninggalkan tempat asal akibat konflik, penganiayaan, ketidakamanan atau pelbagai bentuk penindasan.

“Pengajaran ini kekal relevan sehingga hari ini ketika dunia masih berdepan pelbagai krisis kemanusiaan yang memaksa jutaan manusia mencari perlindungan dan kehidupan lebih selamat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Suhakam berkata kerangka perlindungan pelarian antarabangsa termasuk Konvensyen Pelarian 1951 menyediakan panduan jelas dalam mengurus isu pelarian secara lebih berstruktur dan berperikemanusiaan.

Sehubungan itu, suruhanjaya itu menyatakan hasrat untuk terus membawa advokasi agar Malaysia menyertai konvensyen tersebut.

Menurut Suhakam, sebanyak 146 negara telah menjadi pihak kepada konvensyen berkenaan termasuk beberapa negara ASEAN seperti Cambodia, Philippines dan Timor-Leste.

Sementara itu, Suhakam berpandangan kerajaan perlu membangunkan satu dasar nasional yang jelas dan menyeluruh berkaitan pelarian serta pencari suaka sementara menunggu penyertaan rasmi ke dalam konvensyen itu.

Katanya, langkah itu penting bagi memperjelas urus tadbir, tanggungjawab agensi berkaitan, memperkukuh penyelarasan antara pihak terlibat serta menangani kebimbangan masyarakat dengan lebih berkesan.

Sumber:SUHAKAM