Siakap Keli

Kes Pemandu Mabuk, Proses Kaji Semula Peruntukan Undang-Undang Sedia Ada Dibincang Minggu Depan

Kes kemalangan yang membabitkan pemandu di bawah pengaruh alkohol bukanlah suatu perkara yang asing lagi dalam Malaysia.

Terbaru, kes kemalangan maut yang berlaku di Lebuh Raya KESAS semalam telah membuatkan orang ramai tidak berpuas hati akan undang-undang yang sedia ada dalam menghukum pemandu dibawah pengaruh alkohol yang telah menyebabkan pengguna jalan raya lain maut akibat daripada kecuaian diri mereka sendiri.

Susulan daripada itu, luahan serta desakan orang ramai berkenaan dengan hal itu telah mendapat perhatian Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook.

Menurut satu perkongsian yang dimuat naik menerusi akaun Facebook rasminya, beliau menyatakan bahawa kementeriannya amat memandang serius terhadap isu kemalangan yang melibatkan kesalahan pemanduan di bawah pengaruh alkohol ini.

“Kementerian Pengangkutan amat memandang serius terhadap kejadian kemalangan yang melibatkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol.

“Proses untuk mengkaji semula peruntukan undang-undang sedia ada berkenaan kesalahan tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat pasca-Kabinet Kementerian Pengangkutan minggu depan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan takziah ke atas keluarga Allahyarham Muhammad Zulfakkar Borhan yang maut akibat dilanggar oleh sebuah kereta pacuan 4 roda di Klang semalam.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Zulfakkar Borhan yang meninggal dunia akibat dilanggar oleh sebuah kereta pacuan empat roda di Klang pagi tadi,” katanya.

Tambahnya, pihak kementerian telah menyerahkan siasatan kepada pihak polis bagi mengheret pesalah ke muka pengadilan secepat mungkin.

Sumber: Anthony Loke Siew Fook

Aqmal Ezany

I write what is right