Siakap Keli

E-Dompet Beri Banyak Pulangan Balik Menguntungkan – Pengguna

JOHOR BAHRU, 25 Jan (Bernama) — Penggunaan e-dompet dalam kehidupan seharian termasuk menikmati hidangan di restoran mahu pun membeli barangan penjagaan diri memberikan banyak pulangan balik yang sangat menguntungkan.

Seorang ejen hartanah di bandar raya ini, V.Ragunath, 37, berkata beliau mula menggunakan e-dompet sejak enam bulan lepas dan mendapati ia dilihat menjimatkan kos perbelanjaan menerusi pulangan balik yang diterima.

“Saya biasanya akan menggunakan e-dompet apabila membuat bayaran di restoran malah semalam, saya turut mengisi minyak kereta dan membuat bayaran menerusi aplikasi ini.

“Saya menggunakan dua aplikasi e-dompet, Touch nGo dan GrabPay,” katanya yang ditemui Bernama di restoran The Kittengi di sini, hari ini.

Ragunath yang menerima RM30 e-Tunai daripada kerajaan beberapa hari lepas berkata beliau kini menyarankan penggunakan e-dompet itu kepada rakan dan beberapa saudara mara.

Sementara itu, pengusaha The Kittengi, N.Venugopal, 65, menyifatkan penggunaan tanpa tunai semakin mendapat sambutan daripada para pelanggan di restoran yang sudah beroperasi sejak tiga tahun lepas itu.

Venugopal berkata restoran sajian makanan India Selatan itu sudah memperkenalkan penggunaan e-dompet sejak tahun lepas merangkumi platform Touch n’ Go, Boost, GrabPay serta Maybank QRPay.

“Walaupun sambutan masih lagi sederhana, tetapi kami tetap menyediakan kemudahan ini bagi memudahkan urusan pembayaran pelanggan.

“Saya memilih agensi e-dompet yang menawarkan sistem pulangan wang yang cepat dan mempunyai populariti yang tinggi… ” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Nur Huddha Zamlee, 36, berkata sejak menggunakan e-dompet tahun lepas khususnya bagi membayar tempat letak kenderaan dan membeli barangan penjagaan diri, beliau sudah menebus pelbagai mata ganjaran dengan memperoleh pengurangan harga bagi pembelian makanan dan tiket menonton wayang.

“Saya menggunakan aplikasi Touch ‘n Go eWallet, Boost dan Maybank QRPay kerana mata ganjaran itu boleh ditebus dengan pelbagai baucer,” katanya yang berasal dari Permas Jaya di sini.

Pengurus kedai kecantikan dan kesihatan, Watsons Malaysia cawangan sebuah kompleks membeli-belah di sini, Syarifah Attan, 42, pula berkata kira-kira 50 peratus pelanggan dilihat menggunakan pembayaran menerusi e-dompet di premis itu.

“Pelanggan biasanya akan membeli barangan dalam kuantiti banyak yang biasanya melebihi RM200 bagi membolehkan mereka mendapat pulangan balik pada kadar berbaloi.

“Penggunaan e-dompet di rangkaian Watsons amat baik contohnya bagi musim perayaan Tahun Baharu Cina ini, mana-mana pelanggan yang membeli barangan bernilai RM100 ke atas mereka akan menerima RM15 pulangan balik menerusi e-baucer,” katanya yang bekerja di rangkaian itu sejak 15 tahun lepas.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.