Siakap Keli

Pulang Dari China, Penyanyi Malaysia Disyaki Koronavirus

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Artis baharu yang menyinari dunia nyanyian tempatan, Ika Mustafa, kini dikuarantin di Hospital Sungai Buloh (HSB) selepas disyaki dijangkiti koronavirus atau dikenali sebagai 2019-nCoV.

Menerusi status ‘Instagram Stories’ yang dimuat naik di akaun media sosial ikamustafa, penyanyi ini yang popular menerusi lagu single Damaikanlah dalam OST drama Setelah Ku Dimiliki, meminta peminat mendoakan yang terbaik untuknya.

Ika yang mengesahkan perkara ini kepada Siakap Keli ketika dihubungi, memberitahu bahawa dia dikuarantin sejak petang kelmarin selepas tiba dari Haikou, China atas urusan kerja pada Sabtu malam (25 Januari).

Menurut Ika, ketika dia berada dalam penerbangan ke Haikou dari Malaysia, terdapat seorang penumpang warga emas yang tidak sihat.

”Dua hari lepas, ketika saya berlepas dari Malaysia ke Haikou dalam kapal ada seorang penumpang lelaki lingkungan 60-an yang mengalami batuk dan selesema yang sangat teruk,” kata Ika.

Setelah diperiksa oleh anak kapal yang bertugas, berdasarkan pasport yang tertera, penumpang tersebut merupakan warganegara China yang berasal dari Wuhan.

”Selepas landing, krew kapal buat pengumuman kepada semua mengatakan terdapat penumpang dari Wuhan yang menaiki kapal ini. 

”Setibanya di Haikou, doktor dan jururawat yang bertugas sudah bersedia di bawah bagi mengambil penumpang tersebut,” katanya.

Sebaik sahaja urusannya selesai di Haikou, dia bergegas untuk pulang dan tiba ke Malaysia pada hari yang sama.

Namun, dia mula menunjukkan simptom tidak sihat pada keesokkan harinya.

”Bila saya bangun tidur pada ahad pagi, saya sudah hilang suara, batuk-batuk, tekak sakit, demam dan mengalami muntah-muntah,” katanya.

Dia yang mendapatkan rawatan di klinik berhampiran terus dirujuk kepada HSB, petang semalam, sebelum diasingkan di wad isolasi Hospital Sungai Buloh dan dikuarantin.

Ika berkata, keputusan ujian darah hanya akan diketahui pada malam ini.

Sumber : Ika Mustafa

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Nur Farra