Siakap Keli

Kes Koronavirus Di Kedah Terkawal, Jangan Sebar Berita Palsu – Mukhriz

ALOR SETAR, 29 Jan – Kerajaan Kedah menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu mengenai jangkitan 2019 novel koronavirus, kononnya ia kian merebak di negeri ini, berikutan seorang kanak-kanak disahkan positif penyakit itu di Langkawi.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata setakat ini situasi di Kedah masih terkawal dan hanya seorang kanak-kanak perempuan warga China berusia empat tahun disahkan menghidap penyakit itu, manakala keputusan ujian kesihatan anggota keluarganya yang lain adalah negatif.

“Kanak-kanak ini masih dirawat di wad isolasi Hospital Sultanah Maliha (HSM), Langkawi dan ibu bapanya diharap akan terus berada di sini bersamanya memandangkan kanak-kanak ini masih kecil,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Merujuk kepada pemasangan khemah khas di beberapa hospital utama di Kedah, menurutnya ia merupakan Prosedur Operasi Standard (SOP) biasa dalam menghadapi situasi penularan sebarang penyakit seperti koronavirus.

“Tindakan di peringkat negeri (untuk mengawal koronavirus) adalah melibatkan empat hospital iaitu Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, HSM di Langkawi, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani dan Hospital Kulim.

“Saringan dibuat dengan begitu teratur dan tertib. Sebelum pesakit dimasukkan ke hospital, mereka akan ditempatkan dalam khemah khas di luar hospital bagi tujuan saringan sebelum dibawa masuk ke unit-unit khas untuk dirawat.

“Sebab itu hospital dirikan khemah ini, jadi saya minta janganlah pula sebar berita palsu kononnya koronavirus sudah merebak dengan meluas di Kedah kerana ini (mendirikan khemah) adalah satu SOP untuk menangani masalah seperti ini,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai impak koronavirus terhadap sektor pelancongan di Kedah, khususnya Langkawi, Mukhriz berkata beliau belum menerima sebarang maklumat mengenai perkara itu.

“Tapi kita nak yakinkan (semua pihak) bahawa kita bersedia dan sentiasa siap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan, kita akan kawal penularan koronavirus ini sebaik mungkin.

“Kita ambil langkah berwaspada.. sebab tak boleh nak kata Langkawi bebas daripada segala bentuk penyakit, tidak ada sesiapa boleh bagi jaminan macam tu, cuma pastikan tahap kebersihan kita (baik),” katanya.

Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah awal pagi ini, tiga lagi kes positif koronavirus dilaporkan, menjadikan jumlah kes yang disahkan di negara ini meningkat kepada tujuh setakat ini.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)