Siakap Keli
Kredit Foto: Business Insider

Puluhan Tentera AS Dilapor Cedera Otak Akibat Serangan Peluru Berpandu Iran

Pentagon menyatakan 50 anggota tentera Amerika Syarikat telah mengalami Traumatic Brain Injury (TBI) atau kecederaan otak traumatik akibat serangan peluru berpandu yang dilancarkan oleh Iran di pangkalan udara Ain al-Asad di Iraq sebagai balas dendam terhadap kematian komander tertinggi IRGC Iran, Qassem Soleimani.

Pada mulanya, Presiden Donald Trump menyatakan serangan yang dilakukan itu tidak merugikan Amerika Syarikat.

Namun sehari selepas serangan tersebut dilancarkan, seramai 11 anggota tentera didapati telah tercedera ketika berkhidmat.

Pada minggu lalu, Pentagon telah menyatakan bahawa 34 orang anggota tentera Amerika Syarikat telah tercedera akibat daripada serangan peluru berpandu tersebut.

Lt. Col. Thomas Campbell, jurucakap Pentagon menyatakan bahawa 16 anggota tentera telah didiagnosis telah mengalami TBI.

Menurut Campbell lagi, 31 anggota tentera telah kembali menjalankan tugas.

Pada mulanya Trump menyatakan bahawa tiada tentera yang tercedera dalam serangan peluru berpandu yang dilancarkan pada 8 Januari yang lalu.

Laporan mengenai TBI ini tidak dilaporkan secara serta merta selepas serangan yang dilakukan.

Pada 17 Januari lalu, Pentagon melaporkan  bahawa 11 anggota tentera telah dipindahkan dari Iraq setelah mengalami sakit kepala dan beberapa simptom yang lain.

Penyakit tersebut boleh menyebabkan seseorang individu mengalami koma atau amnesia dan juga boleh menyebabkan kematian.

Sumber: Time.com

Siti Natrah Jusof