Siakap Keli

Marah Isteri Minta Cerai, Lelaki Didakwa Lepas Geram Cekik Anak Sendiri Sampai Mati

Setiap orang pastinya mempunyai perasaan marah yang boleh membuatkan diri menjadi tidak terkawal sehingga sanggup melakukan tindakan yang boleh menimbulkan penyesalan sepanjang hayat.

Seorang lelaki berusia 39 tahun berasal dari Jambi, Indonesia yang tidak dapat mengawal amarah telah ditahan oleh pihak polis kerana disyaki membunuh anaknya sendiri selepas isterinya didakwa menuntut cerai daripadanya.

Difahamkan, ketika dia pulang ke rumah daripada membanting tulang mendulang emas, dia telah meminta isterinya itu untuk membuatkan secawan teh.

Walau bagaimanapun, isterinya itu telah bertindak menolak permintaannya dan menyuruhnya membuat teh tersebut sendiri. Bukan itu sahaja, isterinya itu juga turut menuntut cerai daripadanya.

Selepas daripada itu, lelaki tersebut menyatakan bahawa dia mahu membawa anaknya itu keluar untuk ke pasar, namun mendapat tentangan daripada isterinya.

Dia walau bagaimanapun nekad membawa anaknya itu keluar juga tanpa mempedulikan isterinya.

Namun begitu, dia bukanlah ingin membawa anaknya itu ke pasar, akan tetapi dia telah membawa anaknya masuk ke dalam kebun yang terletak di belakang rumahnya.

Ketika itulah, dia didakwa telah mencekik leher anaknya itu dari bahagian belakang selepas meminta anaknya itu untuk mencari buah mangga di kebun tersebut.

Selepas pembunuhan tersebut berlaku, dia telah menggendong jasad anaknya selama berjam-jam kerana menyesal atas perbuatannya itu lalu meninggalkan jasad tersebut tidak jauh dari rumahnya lalu melarikan diri.

Hasil siasatan pihak polis mendapati bahawa motif pembunuhan tersebut dilakukan kerana perasaan marah merasuki diri lelaki tersebut gara-gara mangsa tidak mahu menuruti perintahnya.

Lelaki tersebut telah ditahan dan kini sedang dalam siasatan pihak polis. Polis juga turut mengesahkan bahawa suspek tidak mempunyai sebarang masalah mental.

Sumber: Sosok

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.